
KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Muhammad Rafique Rashid Ali membidas perbandingan yang sering dibuat antara isu Batu Puteh dengan ancaman kedaulatan menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025).
Beliau yang juga Ketua Penerangan PEJUANG berkata, isu ART 2025 mempunyai kesan jauh lebih mendalam dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai ‘negara naungan Amerika’.
Mengulas mengenai tuduhan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad telah ‘gadai negara’ berhubung isu Batu Puteh, Rafique menyifatkan Tun sebagai seorang yang tegas dan sedia menjawab sebarang pendakwaan di mahkamah.
”Ada yang mahu laporan polis dibuat. Kabinet Madani pula katanya kasihan ambil kira umur Tun. Tun pula seperti biasa tiada segan tiada silu, tegas. Kalau salah dakwa dan beliau akan jawap di Mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ujarnya, isu Batu Puteh sering disalah tafsir, di mana kehilangan wilayah itu telah lama berlaku.
”Yang ditarik balik itu adalah permohonan semakan semula yang tiada potensi untuk berjaya. Itupun atas nasihat peguam pakar yang dilantik Kerajaan BN,” jelasnya.
Beliau kemudiannya membandingkan skala kedua-dua isu tersebut.
”Batu Puteh luas kawasannya kira-kira 8,560 meter persegi, ART 2025 yang menyebabkan Malaysia menjadi negara naungan Amerika pula mempunyai kesan yang jauh lebih mendalam,” ujarnya, sambil mengingatkan bahawa keluasan Malaysia adalah 330,803 kilometer persegi.
Rafique turut mengkritik sikap kerajaan berhubung ketelusan, dengan menyatakan maklumat mengenai Batu Puteh boleh didapati secara terbuka.
”Tiada yang padam macam 47 muka surat Laporan RCI Batu Puteh yang Kerajaan bentang di Parlimen,” sindirnya.
Beliau turut menyentuh tindakan kerajaan menarik balik usul berkaitan Batu Puteh di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang dilihat berlaku kerana majoriti ahli parlimen mula menentang usul kerajaan.
Dalam hantaran sama, beliau turut melampirkan beberapa pautan rujukan dan video penjelasan, serta turut menggesa agar rakyat berfikir secara terbuka.
”Tidakkah kita semua mahu berfikir?” soalnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2025











