
KOTA KINABALU: Naib Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, jentera yang baik mampu membuka hati pesaing, dan mereka perlu mendekati semua pihak dengan kesabaran serta akhlak yang mulia.
Menurutnya, petugas PN perlu bertindak demikian meskipun rumah yang diziarahi memaparkan lambang parti lain kerana tugas jentera ialah mengetuk pintu, memberi salam, bertanya khabar dan menyampaikan mesej PN.
Calon PN bagi DUN Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 itu menambah, bahawa rakyat sering dipandang sebelah mata, seolah-olah tidak wujud di mata sebahagian ahli politik.
Justeru, ujarnya gerakan jentera PN di Karambunai kali ini tidak menganggap parti lain sebagai musuh tetapi sebagai pesaing.
Ini ujarnya, kerana sebahagian daripada mereka telah lama memimpin namun gerak kerja PN akan tetap berhadapan dengan akhlak dan nilai yang baik.
“Banyak perkara yang boleh kita lakukan di Karambunai, terlalu banyak perjuangan yang boleh kita bawa, tetapi sebahagian isu sebelum ini hanya berkisar pada janji yang tidak ditunaikan.
“Malah ada parti yang pernah memerintah meminta diberi setahun namun mereka memerintah lebih dua tahun pada siri yang lepas.
“Santuni semua dengan akhlak, nilai dan moral yang baik, dan saya mahu melihat jentera PN dinilai berada di tangga pertama dari segi prestasi kebaikan serta kesantunan,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Karambunai Kasi Jadi di Padang Taman Sepanggar, malam tadi.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan ADUN Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor turut hadir pada majlis itu.
Beliau yang juga ADUN Lantikan pada penggal lepas turut menyeru semua jentera agar bekerja bersungguh-sungguh demi memenangkan calon PN pada PRN kali ini kerana kuasa memilih berada di tangan rakyat.
Ini, tambahnya termasuk para pengundi, keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan yang akan menentukan keputusan pada 29 November ini melibatkan kira-kira 39,000 pengundi di Karambunai.
Dr Aliakbar turut menyatakan keyakinan bahawa dengan usaha, kesungguhan serta doa kepada Allah SWT, ditambah sokongan padu seluruh jentera, DUN Karambunai akan dapat diisytiharkan sebagai kerusi yang dimenangi oleh PN. – HARAKAHDAILY 15/11/2025











