Kelantan tambah baik Dasar Rumah Mampu Milik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata kerajaan negeri kini dalam proses menambah baik Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) 2025.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, langkah itu bagi menyesuaikan dasar itu dengan perubahan semasa industri perumahan dan pembinaan.

Katanya, perkara itu dibentangkan oleh Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan Kelantan (REHDA), Dato’ Seri Rushdan Yusoff bersama barisan Ahli Jawatankuasa ketika kunjungan hormat ke pejabat beliau kelmarin.

“Maklum balas yang disampaikan REHDA adalah sebahagian daripada usaha penambahbaikan selari dengan cabaran semasa seperti kenaikan harga tanah, bahan binaan, upah tukang dan kos lain yang mempengaruhi industri pembinaan,” katanya.

Hilmi berkata Bahagian Perumahan, Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak dalam industri pembinaan dan perumahan termasuk agensi negeri dan Persekutuan, pemaju serta institusi kewangan.

Beliau menjelaskan Dasar RMMK yang digubal pada tahun 2015 dan kali terakhir ditambah baik pada tahun 2020 mensyaratkan setiap projek perumahan melebihi tiga ekar bagi perumahan berbilang tingkat dan lima ekar ke atas bagi perumahan bertanah perlu disertakan sebahagiannya rumah mampu milik.

“Langkah ini penting bagi memastikan golongan kurang berkemampuan juga dapat memiliki rumah dengan harga yang sesuai serta tidak ketinggalan dalam pemilikan aset hartanah,” katanya.

Menurut Hilmi, kerajaan negeri berusaha memuktamadkan dasar baharu RMMK 2025 sebelum akhir tahun ini dengan jaminan ia akan menjaga kepentingan semua pihak, khususnya pembeli serta pemaju yang menjadi pemain utama dalam pembangunan taman perumahan di Kelantan. – HARAKAHDAILY 20/8/2025

- Advertisement -