
KUALA LUMPUR: Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) meminta kerajaan memperkukuh teknologi pengawasan sempadan termasuk penggunaan sensor, dron, kamera termal dan radar bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penyeludupan.
Beliau berkata, usaha itu penting kerana integriti anggota barisan hadapan turut menjadi isu susulan penahanan lima pegawai perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Ops Soho baru-baru ini.
“Selain bergantung kepada aset, bagaimanakah teknologi pengawasan dan rondaan bersama dapat diperkasakan supaya tidak hanya bergantung kepada anggota keselamatan tersendiri yang risiko dipengaruhi pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Ahmad Tarmizi turut bertanyakan langkah pencegahan rasuah dalaman termasuk pelaksanaan sistem panggilan anggota, audit digital operasi serta program komuniti border alert dengan masyarakat sempadan, bagi memastikan keselamatan negara lebih terjamin.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan sentiasa meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengawasan sempadan bagi memperkukuh kawalan keselamatan.
“Pengawasan bukan sahaja melalui anggota kita, sebaliknya turut diperkukuh dengan penggunaan teknologi yang sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Antara ancaman utama yang diberi tumpuan adalah pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan,” katanya.
Mengulas isu integriti, beliau menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah laku termasuk rasuah dalam kalangan anggota.
“Proses penggiliran anggota di kawasan operasi turut dilaksanakan dan akan terus ditambah baik bagi mengurangkan risiko salah guna kuasa. Dalam masa sama, kita pastikan sebarang kes rasuah atau integriti akan disiasat dengan telus dan adil,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











