Perlis terus perkasa profesionalisme dan sahsiah guru

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa komited dalam memperkukuh elemen kemenjadian guru dengan melaksanakan pelbagai inisiatif yang menjurus kepada peningkatan integriti, profesionalisme dan sahsiah warga pendidik.

- Advertisement -

Exco Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia, Ustaz Mohammad Azmir Azizan berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di Kompleks Seri Putra, hari ini.

Menariknya, Ustaz Azmir turut memulakan soalannya dengan dua rangkap pantun yang menyentuh hati.

“Tanam serai di tepi batas, tumbuh subur dijaga rapi, guru bestari pemangkin cerdas, minda pelajar makin berseri. Anak kecil belajar menari, diiringi muzik indah sekali, terima kasih guru bestari, jasamu dikenang sepanjang hari,” beliau berpantun.

Menurut Ustaz Azmir, antara langkah utama yang telah dilaksanakan ialah program pemantapan profesionalisme guru melalui pelbagai bengkel, seminar dan kursus dalaman secara berkala.

“Selain itu, program Guru Penyayang Sahsiah Cemerlang turut diperkenalkan bagi memupuk nilai kasih sayang dan keperibadian unggul dalam kalangan guru untuk mendidik anak-anak murid dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pengetua dan pentadbir sekolah diberi bimbingan untuk melaksanakan sesi ‘coaching’ dan ‘mentoring’ secara berjadual agar dapat membantu guru meningkatkan prestasi dan kompetensi mereka.

“Pelaksanaan sesi kaunseling oleh intervensi khas, unit kaunseling JPN bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menangani guru yang menghadapi tekanan emosi, stress dan isu peribadi,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, aspek tadbir urus sekolah yang berintegriti juga dititikberatkan melalui pengukuhan sistem pelaporan seperti e-Prestasi, selain pengingat berkala mengenai pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Pihak Jabatan amat mengalu-alukan sebarang maklumat yang boleh membantu dalam memastikan sistem pendidikan terus berkesan dan profesion perguruan terus dimartabatkan,” ujar beliau.

Sebelum itu, Fakhrul dalam soalan asalnya bertanya, kejayaan kemenjadian pelajar turut dipengaruhi oleh faktor kemenjadian (keberkesanan) guru di sekolah.

Namun mutakhir ini, kredibiliti guru mula dipersoalkan oleh ibu bapa serta masyarakat, malah mereka merasa bimbang dengan sikap, tindakan, keperibadian dan penampilan guru yang dirasakan agak berlebihan dan tidak bersesuaian dengan keperibadian guru sebagai pendidik dan contoh kepada anak didiknya.

“Justeru apakah ресаhan kes-kes yang melibatkan guru-guru bermasalah ini serta apakah bentuk tindakan atau program yang telah diambil dan disusun oleh Jabatan  Pendidikan Negeri Perlis bagi memperkukuh elemen kemenjadian guru serta menangani guru bermasalah ini?” soalnya. – HARAKAHDAILY 5/8/2025

- Advertisement -