
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dilaksanakan dengan jujur dan tulus untuk memastikan tidak ada diskriminasi kepada rakyat walaupun ada perbezaan politik, kata Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik).
Menurut beliau, RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan lima tahun, tetapi mesti menjadi manifesto rakyat untuk menjamin keseimbangan, keadilan, dan kelangsungan hidup rakyat termasuk di luar bandar.
“Rancangan ini mesti bukan sekadar dokumen lima tahun, tapi ia sebagai manifesto rakyat,” ujar beliau sambil memetik tulisan seorang penganalisis ekonomi, Roslan Khan, bertajuk ‘RMK13: Antara Slogan dan Realiti’ yang disiarkan di FMT pada 3 Ogos lalu.
Beliau mengulas pandangan Roslan bahawa pelan RMK13 seolah-olah menafikan perubahan global dalam teknologi dan rantaian bekalan, menjadikannya tidak realistik dan berisiko membantutkan pertumbuhan ekonomi.
“Lihat saja projek yang dirancang di bawah satu rancangan tetapi terbengkalai atau diubah semula dalam rancangan berikutnya kerana realiti politik telah berubah,” katanya dalam perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau merujuk projek Lapangan Terbang Kulim (KXP) dan Taman Teknologi Kulim (KHTP) yang gagal direalisasikan akibat pertelingkahan politik dan kerakusan komersial walaupun ia berpotensi membuka peluang pekerjaan, tetapi digugurkan kerana tidak menguntungkan kelompok tertentu.
“Kita baca tentang projek di Pulau Pinang antaranya penambakan tanah di selatan Pulau Pinang, pembesaran lapangan terbang, projek LRT dan Lebuh Raya Pan Island, semua ini menelan belanja lebih RM50 bilion tetapi tertumpu pada satu kawasan sahaja, dengan penduduk sekitar 860,000 orang,” hujahnya lagi.
Ahmad Tarmizi turut mengkritik pendekatan pembangunan yang terlalu tertumpu di Lembah Klang dan Pulau Pinang di mana disifatkannya sebagai perancangan tidak menyeluruh.
Menyentuh tentang daerah beliau di Sik, Kedah, Tarmizi menyifatkan kawasan itu antara yang termiskin di Semenanjung Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, bergantung kepada pertanian kecil-kecilan dan perniagaan mikro.
Namun tegasnya, infrastruktur asas seperti jalan kampung, internet, dan bekalan air masih sangat daif.
“Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sik masih belum dilaksanakan walaupun diluluskan dalam RMK11. Titi gantung kampung Jerai rosak akibat banjir pun masih belum ada tindakan. Klinik kesihatan sangat daif, kita tak sangka ini masih berlaku di Malaysia,” katanya penuh kecewa.
Beliau turut membangkitkan kelemahan pelaksanaan projek-projek strategik negeri Kedah seperti KXP, Kedah Rubber City (KRC) dan Zon Ekonomi Khas Sempadan (SBEZ) yang masih tidak dimuktamadkan walaupun dijanjikan dalam RMK11.
“KRC hanya menarik tujuh pelabur hingga tahun 2024 berbanding sasaran 30 syarikat. Zon industri tak lengkap, pelabur asing lebih memilih Pulau Pinang,” tambah beliau.
Tarmizi mempersoalkan kaedah pengukuran sumbangan ekonomi negeri yang hanya bersandarkan peratusan eksport dan lokasi pelabuhan, sedangkan lokasi pengeluaran sebenar produk adalah di negeri lain.
“Nilai eksport direkodkan sebagai sumbangan Pulau Pinang walaupun produk dihasilkan sepenuhnya di Kedah,” jelasnya sambil mencadangkan agar pengukuran ekonomi berdasarkan nilai tambah dan pengeluaran industri di peringkat negeri.
Beliau turut menegaskan pentingnya pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pertanian di daerah seperti Sik yang kaya dengan tanah pertanian, namun masih tiada kolej TVET berkaitan.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap kelestarian Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi sumber air utama bagi 4.09 juta penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
“Kita perlu satu dana pemulihan Ulu Muda dengan sumbangan bersama Kerajaan Pusat untuk memastikan kelestariannya,” tegas beliau sambil menekankan pentingnya pewujudan zon ekosistem yang memberi peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Menutup perbahasannya, Tarmizi turut menyentuh isu antarabangsa, khususnya keganasan rejim Zionis di Gaza, Palestin.
“Malaysia bukan hanya sebahagian ASEAN tapi juga pemimpin dalam kalangan negara Islam. Dalam RMK13 ini, masih belum menampakkan iltizam untuk mengarusperdanakan ekonomi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta pemulihan Gaza,” ujarnya.
Beliau menggesa kerajaan agar lebih aktif dalam memimpin usaha pemulihan Gaza yang kini memerlukan lebih USD18 bilion untuk membina semula infrastruktur.
“Kita rasa malu dengan rakyat Australia, lebih 300,000 rakyat di Sydney berhimpun menyokong Gaza. Malaysia mesti bangkit bersama mereka,” katanya sambil mengajak semua pihak hadir ke Himpunan Malaysia Bangkit untuk Gaza yang dijadualkan berlangsung 9 Ogos di Dataran Merdeka.
Tarmizi menegaskan, setiap sen yang dibelanjakan dalam RMK13 mesti sampai kepada rakyat.
“Biarlah rakyat merasai setiap lelah mereka itu sebagai rakyat yang akan bersama-sama membangunkan negara kita yang tercinta ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/8/2025











