
KUALA LUMPUR: Rushdan Rusmi (PN–Padang Besar) menggesa agar satu pasukan petugas khas (task force) ditubuhkan bagi menilai serta mewartakan kawasan seperti Wang Kelian dan Padang Besar sebagai Zon Ekonomi Khas.
Menurut beliau, walaupun Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia, namun ia tidak seharusnya dianggap tidak penting atau dipinggirkan dalam setiap naratif pembangunan nasional.
“Ya, negeri kami kecil. Tetapi kecil bukan bererti tidak penting, kecil bukan bermakna harus dipinggirkan. Seperti rumput di tepi jalan, kecil nilainya di mata yang tidak memandang, tetapi menyumbang kepada suburnya tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Rushdan turut melahirkan kekecewaan terhadap ketiadaan perancangan khusus untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas atau Zon Bebas Kewangan di kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand.
“Isu pembangunan ekonomi yang masih belum diselesaikan secara tuntas, sehingga kini isu pembangunan Wang Kelian masih belum selesai. Padang Besar juga mempunyai pelabuhan darat.
“Laluan dagang IMT-GT (Segitiga subwilayah Indonesia-Malaysia-Thailand), malah Kawasan Industri Chuping juga sudah sedia untuk dibangunkan. Tetapi kenapa tiada pewartaan rasmi sebagai Zon Ekonomi Khas? Apakah kerana negeri kami pembangkang?” soalnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa produk pelancongan utama di Padang Besar dan Wang Kelian masih suram, malah tiada satu pun projek nasional diumumkan dalam RMK13 bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai hab pelancongan rentas sempadan.
“Adakah MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) melihat Perlis sebagai negeri yang hanya dilintas sahaja?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2025











