
KUALA TERENGGANU: Terengganu mencatat jumlah pegangan pertanian tertinggi di Malaysia bagi tahun 2023 dengan sebanyak 73,051 pegangan direkodkan.
Jumlah tersebut merangkumi 99.1 peratus dimiliki individu dan hanya 9 peratus oleh pertubuhan dengan 58,435 melibatkan tanaman, diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988), serta perhutanan dan pembalakan (195).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu turut menjadi penyumbang terbesar sektor penternakan negara dengan mencatat 25.7 peratus daripada keseluruhan pegangan ternakan di Malaysia.
“Lebih membanggakan, nilai keseluruhan hasil pertanian Terengganu mencecah RM5.39 bilion yang merangkumi tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan hasil hutan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri menyedari angka berkenaan belum sepenuhnya mencerminkan peningkatan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya petani kecil dan golongan B40.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri kini sedang merangka pendekatan baharu berpandukan data bancian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), termasuk kerjasama dengan syarikat ‘anchor’ bagi mengkomersialkan sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Terima kasih kepada semua petani, penternak dan nelayan yang menjadi tulang belakang sektor ini. Kita percaya, pertanian bukan sekadar warisan, sebaliknya adalah masa depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025




















