
ALOR SETAR: Program Kedah Berselawat 2.0 yang berlangsung pada 1 Ogos lalu di Stadium Darul Aman menjadi medan memperkukuh nilai Islam menyeluruh dalam jiwa anak muda, selain membuktikan kekuatan perpaduan ummah melalui pendekatan kerohanian menyentuh hati.
Ketua Penerangan Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA), Muhammad Haikal Muhamad Radzi berkata, penganjuran program itu amat penting dalam membantu mahasiswa berdepan cabaran zaman moden yang kian kompleks.
“Dalam suasana dunia moden yang serba mencabar, program seperti ini membantu mahasiswa untuk kekal berpegang kepada asas keagamaan dan identiti Islam yang syumul, tanpa terhakis oleh arus pemikiran liberal atau ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau menambah, penganjuran seumpama ini juga membuktikan bahawa perpaduan umat Islam di Kedah mampu dicapai melalui pendekatan keagamaan yang bersifat menyatukan dan tidak memecahbelahkan.
“Program ini juga membuktikan bahawa perpaduan umat Islam di Kedah mampu dicapai melalui pendekatan keagamaan yang bersifat menyatukan dan tidak memecahbelahkan,” ujarnya lagi.
MINDA dalam kenyataan sama turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas kejayaan menganjurkan Kedah Berselawat 2.0 yang telah menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh pelusuk negeri dan negara.
Kehadiran yang luar biasa itu merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk mahasiswa, pelajar institusi pengajian tinggi, golongan belia dan komuniti setempat, menjadikan program ini satu manifestasi kesatuan ummah dalam menzahirkan rasa cinta dan rindu kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Program ini menjadi medan buat masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat duduk bersama dalam menzahirkan rasa cinta dan rindu kepada Baginda Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program berunsur keagamaan seperti Kedah Berselawat 2.0 membawa manfaat besar kepada mahasiswa dan anak muda khususnya dalam pembentukan nilai diri dan kesedaran tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.
“Nilai-nilai murni dalam jiwa anak muda dapat dikukuhkan dengan pemerkasaan terhadap program dan aktiviti yang mendekatkan diri anak muda dengan Allah SWT dengan memartabatkan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup,” jelas beliau lagi.
Selain itu, program tersebut turut menyumbang kepada pengukuhan jati diri mahasiswa Islam dan penglibatan aktif golongan muda dalam agenda sosial serta keagamaan.
“Kehadiran ribuan mahasiswa menunjukkan bahawa golongan muda tidak lagi bersikap pasif, sebaliknya bersedia menjadi peneraju kepada gerakan dakwah yang lebih beradab dan berpengetahuan,” katanya.
Tambah Muhammad Haikal program seperti ini juga memainkan peranan penting dalam menyatukan ummah merentasi perbezaan latar belakang serta ideologi.
Pihaknya turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong program-program keagamaan dan pembangunan sahsiah di negeri Kedah serta menyeru agar lebih banyak inisiatif seumpama ini dianjurkan secara berkala.
“Kami menyeru agar lebih banyak inisiatif seumpama ini dianjurkan secara berkala agar nilai kerohanian dalam kalangan rakyat khususnya mahasiswa terus subur.
“Kami juga komited untuk terus menyokong program-program keagamaan dan pembangunan sahsiah di negeri Kedah selaras dengan aspirasi membina mahasiswa ke arah “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











