
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) mencadangkan pembinaan sebuah lebuh raya baharu yang menghubungkan Gerik dan Jeli melalui kaedah penswastaan berasaskan kerjasama awam-swasta.
Menurut beliau, lebuh raya sedia ada yang menghubungkan kedua-dua kawasan tersebut merupakan laluan berbahaya di mana telah meragut banyak nyawa, antaranya disebabkan ketiadaan pembahagi jalan.
“Laluan yang digunakan pula oleh gajah-gajah berkeliaran, laluan ini menjadi lokasi kemalangan dan terdedah kepada kejadian tanah runtuh. Ia memerlukan masa perjalanan sekitar dua jam setengah. Kita faham kerajaan tidak boleh memikul kesemua beban kewangan projek-projek mega ini.
“Tetapi seandainya ia dimasukkan sedikit di dalam RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) hasrat dan komitmen kerajaan ia sudah cukup menggembirakan penduduk di sekitar Perak, Kelantan dan Terengganu yang menggunakan laluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tambah beliau, projek berkenaan dicadangkan agar dilaksanakan melalui pendekatan penswastaan secara reka dan bina serta operasi dan penyelenggaraan, dengan sektor swasta bertindak sebagai pemaju, pengendali dan penyelenggara projek.
Jelasnya, pelaksanaan sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu kerana pendekatan ini pernah digunakan dalam beberapa projek mega negara sebelum ini, antaranya Lebuh Raya Utara–Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Kedua-duanya adalah hasil pendekatan penswastaannya berjaya menggunakan model ‘build-operate-transfer’ (BOT) yang membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan cepat tanpa membebankan perbendaharaan secara langsung.
“Walaupun mungkin akan berlaku impak ataupun sedikit kesan dari sudut pengenaan tol dan sebagainya, tetapi ia boleh difikirkan kemudian. Kita yakin projek seperti ini bakal membawa limpahan ekonomi luas kepada kawasan-kawasan sepanjang jajaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











