
Tajuk ini panjang jika dihurai. Ia tak sepatutnya menjadi ‘polemik’ jika yang menyebut dan menulisnya memahami dengan sebenar dalam bentuk ‘tafaqquh’.
‘Haraki’ yang saya maksudkan di sini perkara berkaitan gerakan Islam – usrah, mesyuarat, tamrin, berorganisasi, pelbagai aktiviti yang dibuat.
Jika lebih spesifik, ‘gerakan haraki’ yang sebenar di Malaysia adalah PAS sebagai kesinambungan perjuangan Islam yang panjang, terutama di rantau sebelah sini. Ia bukan sekadar dakwaan. Boleh baca sejarah perjuangan dan perlembagaannya.
‘Talaqqi’ di sini merujuk kepada pengajian ilmu-ilmu Islam – fardu Ain, fardu kifayah, ilmu naqli, aqli, berkitab, ada silibus, di pelbagai institusi pengajian.
Dalam konteks pemerintahan moden, ‘talaqqi’ meliputi pembelajaran berkaitan pengurusan, pentadbiran, ilmu politik moden, ekonomi semasa dan lain-lain.
Antara ‘haraki’ dan ‘talaqqi’ sepatutnya tiada pertentangan, bahkan saling berkait dan lengkap-melengkapi.
‘Abna al-harakah’ iaitu ahli, penyokong, pendukung, aktivis gerakan Islam mesti menepati ciri-ciri individu yang menganggotai gerakan ini, bukan sekadar mendakwa dan mendabik dada menyertai dan bersama dalam ‘gerakan haraki’ ini.
Berada dalam ‘gerakan haraki’ ini ialah dengan tujuan membaiki diri, keluarga, masyarakat, negeri, negara. Matlamat terakhir ialah sehingga:
الاسلام يعلوا ولا يعلى عليه
Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi daripada Islam.
Haraki dan talaqqi mesti seimbang. Ada masa berusrah. Ada masa belajar kitab turath. Ada masa bermesyuarat. Ada masa dalami ilmu aqidah dan syariat. Ada masa berorganisasi. Ada masa tambah ilmu tentang pentadbiran dan organisasi.
Bagi yang bertalaqqi, sama ada di pondok, pasentren, Institusi pengajian formal, sepatutnya memahami juga tentang haraki. Dengan ilmu haraki, dapat mengenal juga gerakan Islam sebenar. Berjinak dengannya, kemudian bersama dan menyertainya.
Bila sudah bertafaqquh, kurang sedikit angkuh, kerja makin bersungguh. Haraki dan talaqqi takkan tangguh. – HARAKAHDAILY 4/8/2025
Penulis ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Negeri Terengganu.











