
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) menegaskan bahawa RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri gagal mencerminkan realiti semasa sedang menghimpit rakyat dan menjejaskan kedudukan kewangan negara.
Menurut beliau, unjuran harga minyak mentah dalam RMK13 yang dijangka turun kepada purata USD63.60 setong hingga 2030 adalah petanda awal kelemahan asas perancangan kerajaan hari ini.
Jumlah itu katanya, jauh lebih rendah berbanding unjuran RMK12 dan semakan separuh penggal yang meletakkan harga sekitar USD74.90 setong.
“Hal ini bukan kecil, dia memberi implikasi langsung terhadap hasil negara, yang tekanan ke atas hasil minyak, prestasi perdagangan negara turut menunjukkan tanda kemerosotan yang membimbangkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kejatuhan lebihan dagangan negara yang menyusut hampir 50 peratus dalam tempoh dua tahun, daripada RM255 bilion (2022) kepada hanya RM136 bilion (2024).
Lebih membimbangkan katanya, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih meluas serta penstrukturan semula subsidi akan menjadi beban langsung kepada rakyat.
“Saya bimbang, rakyat juga bimbang. Apakah ini petanda bahawa kehidupan rakyat akan terus melarat?” soalnya membahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibentangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.
Hamzah turut mempersoalkan peningkatan mendadak hutang kerajaan sebanyak RM90 bilion pada tahun 2023 tanpa penjelasan yang jelas mengenai tujuan dan hasilnya.
“Kalau dahulu hutang untuk selamatkan nyawa dikatakan ‘ketelanjuran’, hutang kali ini untuk selamatkan siapa?” sinis beliau menyifatkan alasan kerajaan bahawa hutang negara hari ini adalah akibat pentadbiran terdahulu sebagai tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, hutang langsung kerajaan telah mencecah RM1.305 trilion setakat akhir 2025, meningkat RM50 bilion hanya dalam tempoh enam bulan.
Jumlah keseluruhan hutang termasuk liabiliti luar jangka kini mencecah RM1.685 trilion, melepasi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus melanggar Akta Tanggungjawab Fiskal.
“Tempoh kurang dua tahun pentadbiran kerajaan Madani, hutang dan liabiliti melonjak sebanyak RM285 bilion,” bidanya yang juga Timbalan Presiden BERSATU.
Menyentuh kenyataan Perdana Menteri mengenai KDNK dan inflasi yang dikatakan stabil, Hamzah mengingatkan bahawa 61 peratus rakyat Malaysia masih tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kecemasan.
“Apa maknanya KDNK berkembang jika rakyat tiada simpanan, dan harga barang naik hampir setiap minggu?” soalnya.
Beliau membangkitkan contoh harga ikan kembung yang melonjak daripada RM14.80 sekilogram kepada RM18.50 hanya dalam sebulan di Pasar Borong Seri Kembangan.
Malah katanya, menteri yang bertanggungjawab terhadap kos sara hidup langsung tidak memahami kualiti sebenar barangan asas rakyat seperti beras tempatan.
“Jangan bercakap sewenang-wenangnya jika tidak memahami derita rakyat. Tindak-tanduk beginilah yang menyebabkan rakyat rasa dikhianati. Inilah sebabnya rakyat berhimpun di Dataran Merdeka,” tegasnya.
Hamzah juga menempelak kelembapan pelaburan langsung asing (FDI) di bawah pentadbiran semasa yang jatuh daripada RM122.7 bilion (2021–2022) kepada hanya RM91.9 bilion (2023–2024).
Sebaliknya, negara jiran seperti Indonesia mencatatkan peningkatan FDI daripada USD45.6 bilion (2022) kepada USD55.3 bilion (2024).
“Apabila pelaburan merosot, pendapatan negara terjejas. Kerajaan akhirnya tiada pilihan kecuali potong subsidi dan kurangkan belanja pembangunan,” katanya.
Hamzah menyifatkan RMK13 sebagai dokumen yang tidak berani menyentuh isu-isu ekonomi pokok seperti jurang wilayah antara Pantai Timur dan Pantai Barat, ketidakseimbangan pendapatan antara kaum serta agihan kekayaan antara majikan dan pekerja.
“Rakyat memerhati dan rakyat juga menilai, rakyat tidak mahu kerajaan yang bercakap tak serupa bikin, inilah yang menghakis kepercayaan rakyat hingga membawa kepada ‘trust defisit’,” tegasnya.
Hamzah mengingatkan Perdana Menteri agar tidak menjadikan RMK13 sekadar satu lagi retorik politik, tetapi mesti benar-benar berpijak pada realiti dan mampu memberi harapan kepada rakyat yang kini semakin resah. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











