
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mengingatkan kerajaan agar berpijak di bumi nyata, dengan mengambil pengajaran daripada pencapaian RMK12 sebelum merangka impian baru.
Beliau berkata, sepanjang pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak 2023, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agregat hanya mencatatkan 4.3 peratus, di bawah sasaran RMK12 iaitu 4.5 peratus.
“Sebagai contoh pada 2023 KDNK hanyalah 3.6 peratus, pada 2024 5.1 peratus dan setakat ini sekitar 4.4 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun 2025.
“Belum lagi mengambil kira unjuran yang dibuat Bank Dunia yang menyasarkan KDNK Malaysia untuk tahun ini turun kepada 3.9 peratus dan penetapan semula oleh bank negara pada kadar antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya.
Sebaliknya, sewaktu era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada 2021–2022, pertumbuhan KDNK mencecah 5.9 peratus, melebihi sasaran tertinggi RMK12.
Jelas beliau, ketika pentadbiran Perikatan Nasional, KDNK berjaya melonjak tinggi hasil daripada dasar-dasar serta pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan ketika itu.
“Ini bukan soal ‘low base effect’. Ia soal keupayaan dasar ekonomi dan kebijaksanaan mengurus. Jika tiada kebijakan, angka 8.7 peratus tidak mungkin dicapai ketika itu,” ujarnya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dato’ Seri Hamzah menggesa agar kerajaan menilai semula keberkesanan pelaksanaan dasar terdahulu dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas rentas parti untuk menyemak jurang pencapaian RMK12 dan mencari kaedah penambahbaikan ke hadapan.
Beliau turut menyatakan bahawa RMK13 adalah usaha bersama rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik dan tidak wajar dijadikan platform eksklusif oleh mana-mana pihak.
“Rancangan Malaysia ini bukan milik eksklusif mana-mana parti, tetapi kesinambungan dasar negara demi kemakmuran rakyat,” katanya sambil menyebut Dasar Ekonomi Baru, Dasar Wawasan Negara dan Transformasi Nasional sebagai contoh kesinambungan yang perlu dihormati.
Perikatan Nasional kata beliau, mengharapkan agar sasaran RMK13 ini, pertumbuhan KDNK antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, penciptaan 1.2 juta peluang pekerjaan baru serta pendapatan negara kasar perkapita adalah sebanyak 77,200 yang disasarkan dapat di realisasikan.
Menurut beliau, sebelum rakyat meletakkan keyakinan terhadap RMK13, empat persoalan perlu dijawab kerajaan agar rakyat tahu dan faham.
“Pertama, adakah kerajaan benar-benar mempunyai keupayaan fiskal yang kukuh untuk merealisasikan peruntukan RM611 bilion seperti yang digariskan dalam RMK13 bagi menstruktur semula ekonomi negara tanpa membebankan rakyat.
“Kedua, mana kerajaan mempunyai keberanian politik, melaksanakan reformasi institusi dan tadbir urus secara menyeluruh. Ketiga, mana keberkesanan pendekatan yang digariskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-13, dalam menjamin keadilan sosial dan membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat?
“Keempat apakah indikator dan sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 ini mampu menjadi kompas yang jelas bagi menterjemahkan cita-cita besar rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang?” soal beliau.
Beliau mengaitkan realiti itu dengan kisah simbolik seorang lelaki bernama Yusuf mahu membina banglo mewah idaman di Bukit Gasing, namun gagal kerana tiada perancangan kewangan jelas, merujuk kepada impian RMK13 yang dikhuatiri tidak berpijak pada realiti fiskal negara.
Hamzah turut mempersoal sumber pembiayaan sebenar RM430 bilion daripada poket kerajaan seperti yang diumumkan dalam RMK13, khususnya apakah ia melibatkan peningkatan hutang negara, peluasan cukai, atau penarikan subsidi.
“Adakah tanggungan fizikal kerajaan ini akan ditanggung bersama oleh rakyat melalui peluasan skop dan kadar cukai SST, pengenalan cukai-cukai baru atau penarikan subsidi atas nama rasionalisasi?
“Ini perlu dijawab kerana kerajaan dijangka berdepan fiskal yang lebih getir dengan ruang perbelanjaan negara semakin sempit, pada masa sama dunia di hambat ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











