
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan terus menjadi suara rakyat yang mengimbangi kerajaan dalam memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) benar-benar mempersiapkan negara untuk lima tahun akan datang.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau memetik surah Yusuf ayat 43 hingga 49 sebagai peringatan bahawa setiap kerajaan wajib membuat persiapan teliti bagi menghadapi masa depan, sambil menyifatkannya sebagai prinsip ‘menyediakan payung sebelum hujan’.
“Allah mengingatkan manusia untuk membuat persiapan dengan baik dan teliti menempuh tahun-tahun mendatang yakni kerajaan dalam konteks negara kita, dalam erti kata lain Allah SWT mengingatkan kita semua supaya menyediakan payung sebelum hujan,” ujarnya.
Hamzah turut membangkitkan kepincangan dalam hala tuju dasar luar negara yang disifatkan kurang tegas dan longgar dalam menanggapi isu-isu kemanusiaan sejagat termasuk krisis Gaza, perang di Eropah Timur, konflik di Asia Barat dan pertikaian antara Thailand dan Kemboja.
“Malaysia harus konsisten memperjuangkan keamanan sejagat dan berani menyuarakan pendirian yang tegas menentang apa jua bentuk kezaliman dan penindasan bagi memelihara kepentingan diplomasi dan
strategik negara dari segi dari segenap sudut.
“Maka YAB Perdana Menteri, YB Menteri Luar, seluruh anggota Jemaah Menteri mesti memikul amanah besar untuk memastikan setiap kenyataan dan tindakan mereka sentiasa bersifat tersusun (composed) dan terukur (measured),” tegas beliau.
PN katanya, menyambut baik keterlibatan Malaysia dalam memelihara kestabilan serantau, dan mengiktiraf peranan Perdana Menteri dalam hal tersebut sebagai suatu catatan sejarah, namun mengingatkan bahawa negara tidak boleh leka dibuai imej tanpa pendirian yang kukuh.
Hamzah turut menyentuh isu perdagangan global dan cukai timbal balas 19 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas produk Malaysia.
Jelas beliau, perang dagang antara kuasa besar menuntut kita untuk lebih berwaspada dalam setiap tindakan dan pertuturan sebuah negara dagang.
“Jika kita tidak cermat dalam memposisikan diri, kita akan dipinggirkan di meja rundingan tanpa kita sedari, kita hanyalah diperlakukan sebagai buah catur permainan negara kuasa besar.
“Perikatan Nasional berpandangan jelas, Malaysia mesti berdagang dengan bermaruah, bermaksud mempertahankan kepentingan negara di sebalik apa jua bentuk tekanan,” ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak, kerajaan dan pembangkang bersatu dalam mempertahankan kepentingan negara tanpa mengira ideologi politik.
“Saya setuju, nombor satu, ‘Stand As Malaysia’ dan ketepikan politik kepartian,” ujar beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU.
Dalam sidang yang sama, beliau turut menegur tindakan menteri yang didakwa mengelak daripada menjawab soalan Parlimen, khususnya berkaitan penubuhan Jawatankuasa Fokus Parlimen yang pernah diumumkan sebelum ini.
“Dalam Sidang Khas Parlimen yang pada Mei lalu, ini YB Menteri sendiri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Fokus Parlimen, kita tulis surat kepada beliau dan menamakan, kerana itu adalah secara rasmi diminta kepada kita.
“Kalau jawatankuasa fokus ini telah pun dibentuk dan perbincangan telah pun dibuat awal, saya rasa kita boleh jelaskan kepada rakyat, saya bersetuju sangat bawah tarif ini adalah kepentingan negara.
“Menjadi masalah kita adalah mengapa dah bersetuju tubuhkan jawatankuasa fokus akhirnya bersetuju dengan perjanjian yang dibuat dengan Amerika,” tegas beliau.
Hamzah menyifatkan tindakan tersebut sebagai punca hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kenyataan kerajaan.
Dalam isu pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), beliau menempelak alasan bahawa keputusan tersebut adalah urusan korporat semata-mata.
“Saya nak bagi tahu MAG tu siapa yang punya, Khazanah, semua syarikat-syarikat yang dipunyai 100 peratus kerajaan, melibatkan sesuatu pinjaman yang merupakan satu angka yang besar.
“Ditanya kepada kerajaan, siapa yang akan bayar, rakyat yang akan bayar jumlah yang besar itu?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan wajib telus dan bertanggungjawab kepada rakyat dalam setiap keputusan dasar, apatah lagi yang memberi kesan langsung kepada kewangan negara. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











