Ruang kerjasama REE, fokus jana hasil Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang mampu menawarkan pulangan terbaik berkaitan pengeluaran unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan diketuai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi meneliti model perniagaan yang paling sesuai.

Kata beliau, kerajaan tidak mahu hanya bergantung kepada penjualan REE semata-mata, sebaliknya menekankan kepentingan proses hiliran bagi menjana pendapatan lebih tinggi.

“Ia bukan sahaja untuk mengeluarkan REE dari perut bumi dan dapat hasil, tetapi juga memastikan projek hiliran diwujudkan supaya kerajaan dapat memaksimumkan pendapatan.

“Kita juga bercadang membuka kilang di Kelantan bagi membangunkan produk berasaskan REE dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya selepas Mesyuarat EXCO di Mabna Kota Darulnaim, di sini.

Mengulas memorandum persefahaman (MoU) antara Kelantan dan Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) untuk membekalkan karbonat nadir bumi bercampur (MREC), beliau berkata, ia merupakan opsyen terbaik yang sedang diteliti.

Menurutnya, setakat ini Lynas memberi komitmen untuk membantu kerajaan negeri membangunkan sektor tersebut.

“Kalau Lynas boleh beri tawaran baik, kita akan lihat bentuk kerjasama yang sesuai dan muktamadkan pada masa yang sesuai,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -