LED2025 lonjak sukan patuh syariah, kukuh sahsiah belia

Sukan Patuh Syariah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkasa pembangunan sukan berasaskan nilai melalui pelancaran Liga Elit DUN (LED) 2025 yang menjadi platform strategik ke arah pembangunan belia secara menyeluruh.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, LED 2025 merupakan inisiatif proaktif Urus Setia Belia dan Sukan (UBeS) dengan kerjasama Penyelaras Belia DUN bagi memperkukuh kesepaduan antara DUN serta masyarakat setempat.

“LED tidak hanya berfungsi sebagai gelanggang pertandingan tetapi sebagai platform pembangunan sahsiah belia, mencungkil bakat, mengasah disiplin dan menyemai semangat perpaduan.

“Ia mencerminkan pendekatan Kelantan yang holistik dalam memperkasa generasi muda secara seimbang dari segi jasmani, emosi dan rohani,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Kelantan sempena Majlis Pelancaran LED 2025 yang berlangsung di sini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut merangka Dasar Sukan Patuh Syariah sebagai kerangka hala tuju pembangunan sukan yang berpaksikan syariat Islam, adab serta nilai-nilai murni.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjamin keberkatan dalam pembangunan sukan, malah mewujudkan identiti tersendiri Kelantan dalam landskap sukan tanah air,” katanya lagi.

Tambahnya, komitmen kerajaan turut dizahirkan menerusi pembangunan Madinatul Riyadhah sebagai pusat sukan bersepadu dan berorientasikan tarbiah, yang bakal menjadi mercu tanda pelaburan serius Kelantan terhadap masa depan belia.

“Semoga LED 2025 menjadi titik tolak lonjakan budaya sukan yang lebih sihat, beradab dan berteraskan nilai murni dalam kalangan anak muda Kelantan,” ujarnya menutup ucapan. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -