Himpunan Melayu Berdaulat siri kedua pada 27 Julai

Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (tengah) bersama wakil anggota sekretariat mengumumkan Himpunan Melayu Berdaulat (HMB) siri kedua di Perak pada 27 Julai ini dalam sidang media di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada Rabu. (FOTO: HARAKAHDAILY/Suffi Kamari)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) akan menganjurkan Himpunan Melayu Berdaulat (HMB) siri kedua di Perak pada 27 Julai ini.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, ia susulan kejayaan HMB pertama yang diadakan di hadapan kompleks Sogo, di sini pada 24 Mei lalu.

“Jadi kita minta supaya rakyat Perak khususnya orang Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Perak bersedia atas inisiatif yang kita laksanakan ini.

“Insya-Allah kemajuan terhadap perhimpunan ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak sekretariat,” katanya dalam sidang media di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Front Advokasi Tatanegara, Etika dan Hak (FATEH) Aswanizam Alias serta Penyelidik Akademi Sejarah Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Selain itu, Pengerusi Institut Kajian Islam dan Strategik (IKIS), Azhar Yahya dan aktivis Masyarakat, Ir Mohd Haslin Hassan serta Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Rosharizan turut mengumumkan senarai penuh anggota SMB yang terdiri daripada 13 tokoh pelbagai latar belakang termasuk NGO, tokoh-tokoh individu (NGI) dan aktivis masyarakat bagi bertujuan memastikan perjalanan sekretariat berjalan dengan lancar.

“Keanggotaan sekretariat adalah Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali; serta Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan.

“Seterusnya, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari dan Pertubuhan Bertindak Tanah Rizab Melayu, Zaharah Sulaiman serta Front Advokasi Tatanegara, Etika dan Hak (FATEH); Aswanizam Alias dan Sahabat Cakna Lembah Pantai, LAr Fauzi Abu Bakar; serta Presiden Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan.

“Selain itu, Institut Kajian Islam dan Strategik (IKIS), Azhar Yahya dan Amal Peduli Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin serta aktivis masyarakat, Ir Mohd Haslin Hassan dan Zaharudin Muhammad serta aktivis perundangan, Muhammad Rafique Rashid Ali,” katanya.

Beliau berkata, mereka akan membantu dari segi pergerakan, perancangan dan melaksanakan program atau apa sahaja yang berkaitan agar membolehkan sekretariat mendekati pelbagai lapisan masyarakat.

“Insya-Allah perkara ini telah dipersetujui oleh kami semua dan mudah-mudahan saya mengharapkan setiap mereka yang dilantik akan menjalankan tugas demi agama bangsa dan tanah air yang tercinta,” katanya.

Menurut Rosharizan, SMB tidak akan menghadkan aktiviti kepada penganjuran perhimpunan semata-mata, sebaliknya akan menganjurkan pelbagai bentuk program yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu secara langsung.

“Kita telah bersetuju untuk menjadikan kepelbagaian aktivti sekretariat ini bukan hanya bentuk himpunan, walaupun kita bermula dengan himpunan.

“Jadi ada banyak program yang akan kita turun yang membumi kepada masyarakat kepada orang Melayu itu sendiri untuk kita memberi kefahaman, pengetahuan dan lain-lain yang berkaitan supaya orang Melayu sedar tentang fungsi mereka dan kedaulatan yang semakin lama semakin terhakis,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -