
ALOR SETAR: Teknologi kini bukan lagi pilihan, tapi satu tuntutan, terutama bagi institusi agama dan dakwah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Berikutan katanya, pendekatan itu perlu diperkasa di pelbagai sektor termasuk institusi masjid seluruh Kedah.
“Masjid bukan hanya sebagai pusat ibadah semata-mata, tetapi juga sebagai pusat penyampaian maklumat yang berkesan kepada masyarakat.
“Melalui usaha ini maklumat dapat disebarkan kepada masyarakat dengan lebih pantas serta selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasa Media Sosial Institusi Masjid Negeri Kedah, di Dewan Dato’ Fadhil Nor, Kota Sarang Semut, di sini semalam.
Program yang julung kali anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, berjaya mengumpul wakil dari 588 masjid seluruh Kedah.

Ia juga dijayakan dengan kerjasama Pejabat Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri dan Yayasan Kedah Sejahtera (YKS).
Kata Dato’ Azam lagi, program itu juga akan menjadi medan memperkasakan institusi masjid dalam mendidik, memaklum dan menyantuni masyarakat melalui saluran media sosial secara bijaksana dan berhemah.
Pada program itu, turut menampilkan dua pempengaruh terkenal iaitu Imam Masjid Al-Busyra, Merbok Ustaz Firdaus Furabib dan bekas graduan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Ustaz Aiman Nasir.
Mereka memberi pengisian pengetahuan asas, peranan serta tugas yang perlu dilakukan nanti.
Antara perkara yang diberi perhatian termasuklah perkasakan media sosial dengan hala tuju berstrategi dan fungsi media sosial untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid. – HARAKAHDAILY 19/6/2025




















