
KULIM-BANDAR BAHARU: Beberapa tempat menarik dikenal pasti bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Kedah(TMK) 2025, khusus di selatan Kedah, Kulim-Bandar Baharu.
Kawasan berkenaan bukan sahaja dikenali sebagai kawasan perladangan kelapa sawit dan getah, tetapi turut menyajikan daya tarikan lain untuk menggamit para pengunjung dan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, melalui perkongsiannya di media sosial, berkata, lawatan beliau ke sana memberi banyak input berguna.
Khususnya untuk memperkukuh lagi strategi pembangunan pelancongan dan keusahawanan di negeri ini.
Antaranya jelas beliau, MKA Adventureland iaitu kolam air bukit terbesar di Malaysia, pastinya mampu menjadi tarikan utama yang menawarkan bayaran hanyalah serendah RM5 untuk dewasa, dan RM3 untuk kanak-kanak.
Ujarnya lagi, di MKA Adventureland ini juga disediakan kemudahan bilik penginapan dan amat sesuai serta berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan keluarga dan aktiviti rekreasi luar.
Selain itu, Pusat Rekreasi Batu Hampar juga katanya, satu lagi lokasi yang menarik, namun memerlukan perhatian segera untuk menaik taraf keperluan tertentu.

“Saya difahamkan permohonan untuk tujuan pembaikan telah dihantar kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dan kita berharap kelulusan dapat diperoleh dalam kadar yang segera,” jelas beliau.
Lawatan kerja Dato’ Salleh juga turut ke Farmstay Relau yang diusahakan oleh Abd Razak Abd Hamid, yang juga Pengerusi Homestay Kedah.

Farmstay Relau ini antara yang cukup popular di Daerah Bandar Baharu menawarkan 18 rumah tradisional lengkap dengan kemudahan moden serta sangat sesuai bagi pelancong yang ingin merasai suasana kampung autentik.
Tambahnya, di Bandar Baharu ini juga terdapat kilang yang memproses telur masin yang diusahakan oleh Kilang Lai Hin Trading.

Telur masin keluaran kilang berkenaan ujar beliau, bukan sahaja telah mendapat pengiktirafan halal, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut beliau lagi, terdahulu pihaknya diberi taklimat yang padat dan informatif oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail, berkenaan perkembangan dan perancangan pembangunan daerah, terutamanya dalam aspek pelancongan dan keusahawanan.
“Lawatan dan taklimat ini secara tidak langsung memberi banyak input berguna untuk memperkukuh lagi strategi pembangunan pelancongan dan keusahawanan di negeri Kedah, khususnya di Daerah Bandar Baharu.
“Terima kasih juga jamu kami makan durian duri hitam yang sinonim di kawasan ini. Isinya sedap dan padu,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











