Ketabahan keluarga mangsa tragedi bas menyentuh hati

Dr Balachandran Gopal Krishnan
- Advertisement -

BESUT: Ketabahan dan ketenangan yang ditunjukkan oleh keluarga mangsa nahas bas di Gerik memberi kesan mendalam kepada Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar, Dr Balachandran Gopal Krishnan.

- Advertisement -

Menurutnya, sebagai seorang bukan Islam, beliau amat terharu melihat bagaimana ahli keluarga mangsa mampu menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda.

“Saya menyaksikan sendiri suasana yang tenang dan menyentuh perasaan. Saya terpanggil untuk memahami bagaimana mereka boleh begitu tenang, reda dengan ketentuan Tuhan dan menerima hakikat bahawa hidup ini hanya sementara.

“Perasaan saya begitu tersentuh sehingga terasa ingin memeluk mereka. Ia satu pengalaman yang sangat mengharukan, sesuatu yang saya tidak pernah jangka akan saya rasai dalam suasana sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran video selepas mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menziarahi keluarga mangsa di sini, kelmarin.

Balachandran berkata, kebersamaan dan sokongan masyarakat juga amat penting dalam memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang diuji.

“Apabila kita bersama dan saling menyokong, kita dapat keluar daripada kesakitan dan ketidaktenangan yang dirasai,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar semua keluarga mangsa terus tabah dan dikurniakan ketenangan dalam meneruskan kehidupan.

“Saya berdoa agar Tuhan memberikan mereka ketenangan dan ketabahan. Teruskan hidup dan nikmati keredaan Allah. Subhanallah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -