
HULU TERENGGANU: Isu ketiadaan bekalan elektrik yang dihadapi enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, di sini bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih tiga dekad, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.
Menurut Maliaman, perkampungan kecil itu terletak kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan utama Kampung Jerlan yang mana turut berdepan isu ketiadaan jalan perhubungan serta bekalan air bersih sejak sekian lama.
“Sejak kami mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, saya sendiri telah memohon kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.
“Alhamdulillah, dua daripada tiga masalah utama telah berjaya diselesaikan. Bekalan air bersih telah disalurkan dengan kos sebanyak RM280,000, manakala kemudahan jalan juga sudah dibina sehingga ke hadapan rumah masing-masing,” jelasnya.
Namun begitu beliau berkata, isu bekalan elektrik masih belum dapat diselesaikan disebabkan kos pemasangan tiang elektrik yang tinggi.
“Saya sendiri telah membuat permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 2019. Malah pihak TNB juga sudah turun padang meninjau lokasi tersebut, dan perkara ini telah saya bangkitkan berkali-kali dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah.
“Kita harap selepas tularnya berita ini, semua pihak akan memberikan perhatian serius terhadap keperluan penduduk Kampung Jerlan,” katanya.
Maliaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, menghargai semua pihak yang cakna dengan nasib penduduk di Kampung Jerlan dan berharap penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Saya amat menghargai keprihatinan semua pihak. Insya-Allah, dengan kerjasama semua, masalah ini akan dapat diselesaikan demi keselesaan dan masa depan anak-anak di kampung ini,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam keluarga di kampung berkenaan terpaksa bergantung kepada generator sejak lebih 30 tahun lalu untuk bekalan elektrik selama lima jam setiap malam, dengan kos bahan api mencecah RM300 sebulan. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











