
KANGAR: Isu kesesakan di kawasan parkir yang tular di media sosial bukan berpunca daripada masalah teknikal sistem palang parkir pintar seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya kerana kegagalan pengguna membuat pembayaran.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, kesesakan berlaku apabila pengguna tidak menjelaskan bayaran sebelum keluar dari kawasan parkir, menyebabkan palang tidak terbuka dan laluan tersekat.
“Isu tersekat kesesakan sebelum ini bukan kerana masalah sistem tapi pengguna terlibat tidak membuat pembayaran ketika ingin keluar dan menyebabkan palang itu tidak dibuka sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan,” katanya.
Beliau menggalakkan pengguna memanfaatkan aplikasi parkir yang tersedia kerana ia memudahkan urusan tanpa perlu membuka tingkap kenderaan.
“Dan jika pengguna tak nak muat naik aplikasi itu pun, pembayaran juga boleh dibuat di kedai-kedai ejen sekitar kawasan mereka meletakkan kenderaan untuk memudahkan proses sewaktu ingin keluar nanti,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular video dan foto memaparkan kesesakan di lokasi parkir yang dikaitkan dengan pelaksanaan sistem parkir pintar tanpa tunai diperkenalkan oleh MPK.

Sebagai makluman, sistem parkir pintar itu merupakan sebahagian inisiatif ke arah menjadikan Kangar sebuah bandar maju dan berdaya saing.
MPK turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan sistem tersebut tidak akan menimbulkan kesesakan jika pengguna mematuhi tatacara ditetapkan.
Maklum Affendi, secara keseluruhan pelaksanaan sistem baharu ini berjalan lancar, meskipun ada beberapa isu terpencil yang sedang ditangani pihaknya.
“MPK juga mengucapkan terima kasih kepada kebanyakan penduduk Perlis yang memberi kerjasama dan kita juga akan mengatasi isu-isu terpencil dibangkitkan sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MPK telah melantik seramai 11 ahli majlis baharu berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Disember 2027, menjadikan jumlah keseluruhan ahli majlis seramai 21 orang.
“Pemilihan nama-nama ahli majlis terlibat dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini dan majlis angkat sumpah jawatan juga berlangsung pada hari ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











