Terengganu sasar 150,000 pengunjung sempena TIBW 2025

Razali (tengah) ketika majlis peluncuran TIBW 2025 yang diadakan di Ace Cafe Kuala Lumpur
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terengganu menyasarkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa sempena penganjuran Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025 yang bakal berlangsung dari 2 hingga 6 Julai ini di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, sasaran tersebut realistik berdasarkan perkembangan positif acara dan penjenamaan semula TIBW sejak tahun lalu.

“TIBW yang dijenamakan semula pada tahun 2024 daripada nama asal Terengganu Bike Week kepada Terengganu International Bike Week, sekali gus menandakan penjenamaan baru yang lebih global dan inklusif.

“Pada tahun 2024, TIBW telah mencatatkan kejayaan besar dengan menghimpunkan lebih 10,000 peminat permotoran dari dalam dan luar negara, termasuk kehadiran peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Kerajaan Negeri Terengganu mensasarkan kehadiran melebihi 150,000 orang pelawat dan pelancong, sekali gus menjadikan TIBW 2025 sebagai salah satu acara pelancongan utama negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran TIBW 2025 yang diadakan di Ace Cafe Kuala Lumpur menyaksikan sambutan hangat dengan lebih 40 kelab permotoran dari Lembah Klang menyatakan komitmen untuk turut serta dalam acara berprestij itu.

Beliau berkata, antara acara utama bakal menarik tumpuan ialah Malam Gala bersama Menteri Besar, persembahan artis terkenal seperti Dato’ Hattan, Hazama dan Aweera, serta aktiviti berasaskan komuniti seperti ‘stunt show’, ‘slow race’, ‘auto show’, serta persembahan Brass Band.

Turut dianjurkan ialah program keagamaan dan santai seperti Sembang Santai bersama Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Razak sekali gus menunjukkan keseimbangan antara hiburan dan nilai spiritual dalam penganjuran.

Beliau berkata, penganjuran TIBW 2025 merupakan satu inisiatif strategik Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkukuh sektor pelancongan dan memperkasa ekonomi komuniti tempatan melalui platform gaya hidup dan permotoran.

“Dengan tagline “Maghi Awal, Balik Lambat”, TIBW 2025 bukan sekadar acara permotoran, tetapi festival gaya hidup dan komuniti yang menyatukan budaya, hiburan dan semangat persaudaraan permotoran,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti perkembangan TIBW 2025 melalui saluran media sosial rasmi Beautiful Terengganu Malaysia dan Terengganu Bike Week.

Angka disasarkan kali ini merupakan peningkatan ketara berbanding edisi 2024 yang mencatat lebih 10,000 kehadiran. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -