
KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) menarik balik tuntutan pampasan faedah penamatan kerja mencecah RM2.48 juta yang dikemukakan terhadap syarikat berkenaan.
Peguam mewakili MKLSB, Muhamad Sharulnizam Mohd Roni berkata, keputusan itu diambil selepas Hakim Mahkamah Buruh mendapati pengadu tiada asas yang munasabah dalam tuntutan tersebut.
“Pihak peguam telah membangkitkan hujahan di bawah Peraturan 8(2) Faedah-faedah Penamatan 1980 yang mana jika ada kelangsungan perkhidmatan, pihak majikan yang lama tidak perlu membayar sebarang pampasan kepada bekas pekerja.
“Dalam konteks ini, bila mana tarikh penamatan mereka pada 31 Mac 2025 dan disambung pada 1 April 2025, jadi pihak pengadu tiada sebarang kes terhadap pihak majikan.
“Disebabkan itu, pihak pengadu menarik semula kes,” katanya kepada pihak media di pekarangan Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menuntut permohonan maaf daripada pengadu berhubung tuntutan berkenaan, dan pengadu telah membuat permohonan maaf secara bertulis kepada pihak MKLSB.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur (Menara KL), Nazli Saad meluahkan rasa syukur di atas keputusan berkenaan.
“Syukur ke atas Allah SWT kerana kes telah digugurkan dan tidak diteruskan,” katanya ringkas.
Terdahulu, seramai 96 bekas kakitangan MKLSB mengemukakan tuntutan tersebut susulan pemberhentian kerja mereka di syarikat berkenaan.
Ia berikutan pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL yang telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) bermula 1 April lalu. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











