
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) merujuk kepada beberapa laporan media yang memberi gambaran bahawa Mahkamah Persekutuan hari ini telah membatalkan sepenuhnya Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama 2014.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, laporan sedemikian adalah tidak tepat, mengelirukan, dan tidak menggambarkan keputusan dan alasan penuh mahkamah.
“Bagi mengelakkan kekeliruan, mahkamah tidak membatalkan keseluruhan fatwa sebaliknya, ia membuat keputusan yang terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebahagian yang lain.
“Bahagian fatwa yang disahkan (kekal sah). Perenggan 1 fatwa, setakat mana ia menyatakan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’.
“Perenggan 4 fatwa, yang menyatakan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bahagian fatwa yang diketapikan (tidak sah) adalah pemakaian fatwa tersebut kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
“Perenggan 2 fatwa, yang menyentuh pengharaman dan rampasan bahan terbitan dan perenggan 3 fatwa yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman-laman sosial,” katanya.
Menurut Muhamad Hisham, Mahkamah Persekutuan memberikan tiga alasan utama dalam keputusannya untuk mengetepikan sebahagian fatwa.
“Tafsiran ‘orang yang menganut agama Islam’.. alasan utama fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS Forum sebagai sebuah syarikat adalah kerana mahkamah mentafsirkan frasa Perlembagaan ‘persons professing the religion of Islam’ sebagai merujuk hanya kepada manusia sebenar, bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.
“Mahkamah menjelaskan bahawa sebuah syarikat, sebagai entiti buatan, tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa atau menunaikan haji.
“Dalam konteks yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertaubat seperti yang dituntut oleh perenggan 4 fatwa,” jelasnya.
Selain itu, melangkaui bidang kuasa negeri oleh kerana mahkamah mendapati Perenggan 2 dan 3 fatwa adalah tidak sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubalnya.
“Perkara berkaitan pengharaman penerbitan (Perenggan 2) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Perkara berkaitan sekatan kandungan internet (Perenggan 3) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan melibatkan agensi Persekutuan (SKMM),” katanya.
Tambah beliau, kebertanggungjawaban individu tetap wujud di mana mahkamah menegaskan bahawa walaupun fatwa tidak terpakai kepada syarikat, individu-individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan itu tetap terikat dengan fatwa tersebut di bawah Perenggan 1 dan 4.
“Oleh itu, tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh terlepas tanpa bertanggungjawab kerana kebertanggungjawaban terletak di bahu individu-individu di dalamnya,” katanya.
Oleh demikian, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa teras teologi fatwa yang menyentuh akidah individu Muslim adalah sah dan berkuat kuasa.
“Pembatalan hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui bidang kuasa perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia,” katanya.
Justeru, beliau menyeru pihak media agar melaporkan keputusan mahkamah secara tepat dan holistik untuk memberi pemahaman yang benar kepada masyarakat.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa rayuan SIS Forum di Mahkamah Persekutuan telah menyebabkan keseluruhan fatwa berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme agama dibatalkan, namun laporan itu tidak menggambarkan keputusan sebenar. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











