
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga hati daripada bersangka buruk serta mengelakkan diri daripada mencari-cari kesalahan dan aib orang lain.
Beliau berkata, dalam kehidupan, terdapat dua jenis sangkaan iaitu sangka baik (husnudzon) dan sangka buruk (suudzon) yang kedua-duanya lahir daripada hati, namun memberi kesan sangat berbeza.
“Sangka baik ini, husnudzon, adalah akhlak orang beriman. Bila kita nampak seseorang, walaupun keadaannya mencurigakan, selagi tiada bukti yang jelas, selagi tidak nampak salahnya terang-terangan, maka eloklah kita bersangka baik,” ujarnya.
Menurut beliau, mungkin individu terbabit sedang dalam ujian atau Allah sedang mengangkat darjatnya melalui keadaan yang tidak difahami orang lain.
Namun begitu, katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, sangka buruk ditegah kecuali dalam keadaan munasabah.
“Umpamanya, seseorang itu baru sahaja dibebaskan dari penjara kerana kes mencuri. Tiba-tiba dia mengendap-endap di sekitar rumah. Kita berhak beringat dan mengambil langkah berjaga-jaga, demi keselamatan keluarga.
“Kita boleh beritahu anak-anak dan isteri supaya lebih berhati-hati. Tetapi jangan terus menuduh, ‘Dia nak mencuri.’ Kerana hakikat isi hatinya, kita tidak tahu.
“Mungkin dia benar-benar telah bertaubat. Mungkin dia sedang mencari seseorang, atau tersesat jalan. Maka berhati-hati itu perlu, tetapi jangan sampai menghukum tanpa bukti,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan agar umat Islam mengajak hati kepada husnudzon, bukan kerana orang lain sempurna tetapi demi menjaga jiwa daripada dosa.
“Sebab kalau kita asyik berprasangka terhadap semua orang, lama-lama hati kita sendiri jadi gelap. Jiwa kita sentiasa curiga, tidak tenang. Bila nampak orang diam, kita kata dia sombong.
“Bila dia banyak bercakap, kita kata dia menunjuk. Bila dia senyum, kita sangka dia ada muslihat. Semua itu akhirnya membebankan diri sendiri,” ulasnya.
Tambah ADUN Panchor itu, Allah juga melarang daripada mencari-cari salah dan aib orang lain, serta menegur sikap suka menyelongkar hal peribadi orang.
“Nampak orang duduk dalam gelap, kita sibuk hendak tahu dia buat apa. Kita intai-intai, jenguk-jenguk, seolah-olah hidup ini perlu tahu semua hal orang lain. Padahal, orang yang duduk dalam rumahnya ada hak peribadinya.
“Dia berhak menyendiri, berzikir, menangis, atau hanya diam merenung nasib. Tidak semestinya ada perkara buruk berlaku. Kalau kita pergi mencari, menggali-gali perkara yang bukan urusan kita, bimbang Allah akan balas dengan membuka aib kita pula satu hari nanti.
“Oleh itu, jagalah hati daripada buruk sangka. Jagalah mata daripada memerhati hal yang tidak perlu. Jagalah mulut daripada menyebut apa yang tidak pasti.
“Sebab bila semua ini dijaga, barulah hidup kita tenang, hubungan sesama manusia jadi indah, dan yang paling utama, kita lebih dekat kepada redha Allah,” nasihatnya.
Mohd Amar berkongsi satu kisah yang memberi pengajaran besar berhubung cara menegur kemungkaran dalam Islam yang perlu mengikut adab dan batas syarak.
Beliau berkata, pada suatu malam, seorang lelaki yang sangat prihatin terhadap masyarakat di sekelilingnya keluar berjalan kaki untuk mengetahui keadaan sebenar kejiranan tempat tinggalnya, terutama ketika ramai sedang lena tidur.
Katanya, lelaki itu berniat ikhlas dan bukan untuk mencari salah sesiapa, tetapi kerana rasa tanggungjawab yang tinggi.
“Ketika melalui sebuah lorong, dia terdengar bunyi nyanyian dan paluan alat muzik dari sebuah rumah. Timbul rasa curiga. Dengan perasaan ingin tahu, dia menghampiri rumah tersebut.
“Dari celahan dinding, dia mengintai, dan terlihat sekumpulan lelaki sedang bersuka ria dan minum arak. Tanpa mengetuk pintu atau memberi salam, dia memanjat masuk melalui bahagian bumbung dan terus menyerbu masuk.
“Mereka yang berada dalam rumah itu terkejut dan tidak sempat berbuat apa-apa. Lelaki itu, dengan nada tegas, mahu menghukum mereka atas perbuatan salah mereka,” ceritanya.
Bagaimanapun katanya, seorang daripada mereka dalam keadaan takut tetapi berani menyuarakan kebenaran dengan berkata, ‘Tuan, kami memang melakukan satu kesalahan, tapi tuan telah melakukan tiga’.
Menurut beliau, lelaki itu tersentak dan bertanya, ‘Tiga?’. “(Lantas) Orang itu menjawab, ‘Pertama, tuan telah mengintai rumah kami. Kedua, tuan masuk tanpa memberi salam. Ketiga, tuan menceroboh masuk dari atap tanpa izin.’
“Lelaki itu terdiam. Walaupun niatnya baik, dia tersedar bahawa tindakannya telah melanggar batas adab dan hukum. Maka dia pun berundur, tidak menghukum mereka pada malam itu.
“Kerana dia faham, dalam Islam, bukan hanya perbuatan maksiat itu salah, tetapi cara menegur dan menasihati juga perlu menurut syariat dan penuh dengan adab,” nasihatnya lagi.
Menurut Amar, Islam tidak mengajar penganutnya menjadi penyerbu, tetapi pembimbing yang menegur kemungkaran dengan cara yang betul dan beradab.
Beliau turut menegur fenomena ‘pencegah maksiat maya’ yang cepat menyebarkan kesalahan orang lain di media sosial tanpa mengetahui kisah sebenar.
“Mungkin dia sudah menyesal, mungkin dia buat kerana terpaksa, mungkin dia sedang berubah.
“Tapi kerana kita ‘viral’kan aib itu, dia hilang semangat untuk berubah. Sedangkan Nabi SAW bersabda, ‘siapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan tutup aibnya di dunia dan akhirat’” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya ada maksiat nyata, tindakan wajar ialah melaporkan kepada pihak berkuasa, bukan menyebarkan di media sosial.
“Kalau kita nampak seseorang mencuri sekalipun, adabnya bukan dengan mencaci di depan orang ramai, tetapi dengan menegur secara berhemah, memberi ruang dia membetulkan diri.
“Seorang ulama pernah berkata, ‘Jika seseorang berbuat dosa dalam diam, maka dia sedang menyembunyikan dirinya dari murka Allah. Jangan kita yang buka hijab itu dan seret dia kepada aib yang lebih besar.’” kupasnya.
Katanya, agama ini adalah agama kasih sayang yang menegur dengan lembut dan penuh hikmah, serta menutup aib orang lain sebagaimana diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Kalau betul kita cintakan Islam, maka kita akan lebih suka menutup aib orang daripada membukanya. Kita akan lebih suka menyelamatkan orang daripada menjatuhkan mereka,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











