Bantu Orang Asli bendung salah guna dadah

Siti Ashah Ghazali bersama wakil penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Legong, Baling
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan memberi fokus membantu mengurangkan masalah sosial terutama penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk Orang Asli di negeri ini, kata Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan itu berkata, pendekatan itu akan diadakan bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan lain-lain agensi berkaitan.

“Ramai dari kalangan penduduk Orang Asli terlibat gejala sosial terutama penyalahgunaan dadah. InsyaAllah, beberapa perancangan telah disusun untuk memastikan rantaian penularan dadah di kalangan Orang Asli ini dapat dibendung serta diputuskan.

“Agar tidak terus menular di kalangan mereka,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas ketika dihubungi Harakahdaily, di sini semalam.

Terdahulu, satu perjumpaan bersama wakil penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Legong, Baling diadakan bagi membincangkan keperluan masyarakat berkenaan untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Perundangan Orang Asli peringkat Kerajaan Persekutuan.

Perjumpaan itu turut dihadiri Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Kedah, Fakhrulradzi Salamat dan Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad serta Ahli Dewan Negara, Senator Abd Nasir Idris dan wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Kata Dato’ Ashah lagi, Kampung Lubuk Legong itu merupakan satu-satunya kampung Orang Asli dari suku Kensui yang masih ada di Baling, mempunyai hampir 85 keluarga dengan jumlah 300 orang penduduk.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan pada perjumpaan itu, termasuklah berkaitan jumlah isi rumah, pendidikan dan lain-lain termasuk projek ekonomi masyarakat tersebut.

“Ada antara anak-anak mereka ini yang belajar di UniSHAMS (Universiti Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah), ada yang bekerja dengan jabatan kerajaan dan terdapat seramai 16 orang kini sedang belajar di Maahad Dini, Sik.

“Mereka ini 99 peratus beragama Islam, cuma satu peratus sahaja bukan Islam,” tambah beliau turut memaklumkan pada mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MAPOA) dihadirinya di Bangi, beliau turut membangkitkan beberapa perkara berkenaan penduduk Orang Asli itu.

Selain masalah sosial dan pendidikan, Dato’ Ashah juga menekan berkenaan projek ekonomi untuk membantu meningkatkan pendapatan Orang Asli tersebut.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.

“Saya mengharapkan semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada pembangunan yang lebih inklusif, sekaligus memberi impak positif kepada komuniti Orang Asli di negeri Kedah,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -