Kembali kepada asas agama dalam dunia yang gila darjat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mengingatkan umat Islam supaya kembali kepada asas agama dalam menghadapi dunia yang semakin gila memandang darjat, rupa, harta dan kedudukan.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa ukhuwah atau persaudaraan adalah asas kekuatan ummah, dan retaknya hubungan itu bermula apabila wujud perasaan saling mencurigai dan memandang lekeh antara satu sama lain.

Menurutnya, Allah juga memperingatkan agar tidak memandang rendah terhadap orang lain kerana hanya Allah mengetahui kedudukan sebenar seseorang.

“Mungkin pada pandangan mata kasar, dia nampak biasa-biasa saja. Tetapi siapa tahu, di sisi Allah dia lebih tinggi darjatnya daripada kita. Mungkin dia tidak menonjol, tidak banyak bercakap, tidak berpakaian hebat, tetapi hatinya suci, amalnya banyak, sabarnya luar biasa.

“Kita ini tidak tahu apa-apa. Maka jangan mudah menghina,” ujarnya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam media sosial miliknya.

Mohd Amar turut berkongsi sebuah kisah sering diceritakan oleh para guru berkenaan seorang lelaki Ansar yang disebut Rasulullah SAW sebagai ahli syurga, walaupun tidak menonjol dari segi ibadah zahir.

“Pada suatu hari, Rasulullah sedang duduk bersama sahabat-sahabat baginda di dalam masjid. Suasana tenang. Hati mereka tertumpu kepada baginda.

“Tiba-tiba Nabi bersabda bahawa sebentar lagi akan masuk ke dalam masjid seorang lelaki daripada ahli syurga. Mereka pun menanti. Tidak lama kemudian, masuklah seorang lelaki dari golongan Ansar. Bukan orang terkenal.

“Tidak pula kelihatan seperti ahli ibadah besar. Janggutnya masih basah, tanda baru berwuduk. Kasutnya dipegang di tangan kiri. Dia masuk, menunaikan solat dua rakaat, kemudian duduk. Tidak ada apa-apa yang luar biasa pada zahirnya.

“Keesokan hari, Nabi bersabda perkara yang sama. Akan masuk seorang lelaki daripada ahli syurga. Dan lelaki itu, yang sama seperti semalam, datang lagi. Hari ketiga, perkara yang serupa berlaku.

“Sekali lagi lelaki yang sama muncul apabila Nabi menyebut tentang ahli syurga. Sahabat-sahabat mula tertanya-tanya. Siapakah lelaki ini? Apakah amalannya yang begitu istimewa?” ceritanya.

Menurutnya, Abdullah Amru al-As kemudian mengambil inisiatif untuk bermalam selama tiga malam di rumah lelaki tersebut untuk mengetahui amalannya.

“Dengan alasan ingin menumpang kerana berselisih dengan ayahnya, beliau meminta untuk bermalam di rumah lelaki itu. Lelaki itu menyambut dengan hati terbuka.

“Selama tiga malam, Abdullah memerhatikan dengan teliti. Tiada solat malam yang panjang. Tiada zikir yang berpanjangan. Lelaki itu tidur seperti biasa dan hanya bangun untuk solat Subuh berjemaah. Bila terjaga di malam hari, dia berzikir seketika dan kembali tidur.

“Akhirnya, setelah tiga malam berlalu, Abdullah pun berterus terang. Katanya, dia tidak pernah pun berselisih dengan ayahnya. Tujuannya hanyalah untuk mengetahui apakah rahsia amalan lelaki itu, kerana Rasulullah telah menyebutnya sebagai ahli syurga sebanyak tiga kali,” kongsinya.

Tambah beliau, lelaki itu hanya menyatakan satu amalan yang diamalkannya setiap hari iaitu membersihkan hati daripada kebencian dan rasa hasad.

“Lelaki itu menjawab dengan tenang. Dia tidak melakukan apa-apa yang luar biasa, melainkan satu perkara yang dijaganya setiap hari. Sebelum tidur, dia akan bersihkan hatinya daripada segala kebencian dan dendam.

“Dia memaafkan sesiapa sahaja yang menyakitinya, dan tidak pernah menyimpan rasa hasad terhadap orang lain atas kurniaan yang Allah beri kepada mereka.

“Abdullah mendengar jawapan itu lalu berkata bahawa itulah rupanya rahsia yang membuatkan dia digelar ahli syurga. Itulah amalan yang sukar untuk dilakukan oleh kebanyakan manusia,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa manusia sering menilai berdasarkan pandangan zahir, sedangkan penilaian Allah berdasarkan keadaan hati.

“Sebab Allah menilai bukan hanya pada apa yang kita buat, tetapi pada bagaimana hati kita berdetik saat kita buat sesuatu. Hati itu, Allah yang menyuluh. Dan apabila Allah redha, maka syurga pun mendekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -