
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan Sister In Islam (SIS) Forum (Malaysia) berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Keputusan itu dibuat secara majoriti, dengan tiga daripada empat hakim yang bersidang bersetuju untuk membenarkan rayuan yang difailkan oleh SIS Forum.
Mereka ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Seorang lagi hakim, Datuk Abu Bakar Jais, tidak bersetuju dengan keputusan itu, manakala seorang lagi ahli panel, Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil, telah bersara pada April lalu dan tidak mengambil bahagian dalam keputusan akhir.
Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Tun Tengku Maimun memutuskan bahawa mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.
Dalam keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun berkata, keputusan itu hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan di mana perintah terperinci adalah sebagaimana dinyatakan dalam alasan penuh penghakiman.
Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi membatalkan fatwa berkenaan.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukan merupakan suatu keputusan muktamad, oleh demikian, ia tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
SIS Forum dan Zainah sebelum ini merayu ke Mahkamah Rayuan selepas gagal membatalkan fatwa tersebut di Mahkamah Tinggi, namun permohonan semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.
Fatwa itu, yang telah diwartakan oleh kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa tersebut turut mengarahkan agar mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural diharamkan serta dirampas, selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis laman sesawang sosial yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak.
Peguam SIS diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, manakala kerajaan Selangor diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Salim Soib @ Hamid.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Jawatankuasa Fatwa Selangor, manakala Yusfarizal Yussoff mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). – HARAKAHDAILY 19/6/2025











