Pasukan bola sepak KFA sedia menyertai Liga A1 Julai depan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan, pihak kerajaan negeri tidak akan membenarkan Stadium Darul Aman dijadikan ‘home’ atau rumah kepada pasukan bola sepak lain kerana Kedah telah memiliki pasukannya sendiri.

- Advertisement -

“Ada orang marah sebab kita tidak menerima permohonan satu ‘team’ yang minta nak guna dan daftar Stadium Darul Aman sebagai ‘home’ pasukan mereka. Tak bolehlah, sebab saya difahamkan, pasukan itu pasukan Imigresen. Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Oleh itu saya nasihat, sebab dia ‘under’ KDN, dia boleh guna Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Pulau Pinang ada dua stadium, Bandaraya ada, Batu Kawan pun ada,” tegasnya.

Kata Sanusi lagi, setakat hendak menggunakan stadium, perkara itu tidak bermasalah tetapi hendak mendaftar sebagai ‘home’, memang tidak dibenarkan.

“Tiap pasukan ada ‘home’ iaitu rumahnya sendiri dan ‘Away’ bagi rumah pihak lawan. Jadi nak register ‘home’ itu tidak bolehlah guna Stadium Darul Aman, sebab sudah ada ‘team’.

“Kalau nak mewakili Imigresen, pergilah negeri lain, Pulau Pinang pun boleh,” tambahnya lagi menegaskan perkara itu pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah bersedia dengan pasukan bola sepaknya untuk bertanding di Liga A1 yang dijadualkan Julai depan.

Menurut Pengerusi KFA itu, pasukan berkenaan sudah dilengkapi dengan juru latih dan pegawai pasukan.

“Senarai pemain masih dirahsiakan, pengumuman pengenalan pemain dan para pegawai pasukan KFA akan dibuat pada minggu kedua Julai ini,” katanya lagi.

Sungguhpun begitu, beliau tidak pasti sama ada pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC akan menyertai pertandingan liga tersebut ataupun tidak. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -