Virtual Autisme: Risiko penggunaan gajet berlebihan terhadap kanak-kanak

- Advertisement -

DALAM era ledakan teknologi digital, penggunaan gajet oleh kanak-kanak semakin menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian keluarga. Namun, kebiasaan ini kini mengundang kebimbangan apabila kajian dan pemerhatian klinikal menunjukkan wujudnya fenomena yang dikenali sebagai virtual autisme.

- Advertisement -

Ia satu keadaan di mana kanak-kanak memperlihatkan simptom mirip autisme akibat pendedahan berlebihan kepada skrin seawal usia bayi dan kanak-kanak kecil.

Fenomena ini bukanlah diagnosis klinikal yang diiktiraf secara rasmi, tetapi telah diperhatikan secara konsisten oleh pakar perkembangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Kanak-kanak yang terdedah terlalu awal dan terlalu lama kepada skrin sama ada televisyen, telefon pintar, tablet mahupun komputer didapati mengalami gangguan dalam perkembangan komunikasi, interaksi sosial dan tumpuan.

Mereka juga menunjukkan tanda-tanda seperti tidak memberi respons apabila dipanggil, mengelak dari membuat kontak mata, dan lebih tertarik kepada peranti digital berbanding persekitaran sekeliling.

Perkembangan otak kanak-kanak yang sedang pesat dalam lima tahun pertama kehidupan sangat bergantung kepada rangsangan dunia nyata.

Apabila otak mereka diasak dengan rangsangan digital secara berterusan, keupayaan untuk membina hubungan sosial, bahasa dan emosi yang sihat terganggu.

Hal ini berlaku kerana paparan skrin menggantikan aktiviti penting seperti bermain secara fizikal, berbual dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, serta meneroka persekitaran secara semula jadi.

Statistik tempatan menunjukkan bahawa sebahagian besar kanak-kanak Malaysia bawah lima tahun kini terdedah kepada skrin lebih daripada dua jam sehari melebihi saranan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan tiada skrin bagi bayi bawah dua tahun dan maksimum satu jam bagi kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun.

Pendedahan ini sering berlaku apabila ibu bapa menggunakan gajet sebagai alat menenangkan anak, penghibur atau ‘penjaga’ ketika mereka sibuk.

Kesan jangka panjang fenomena ini amat membimbangkan, kanak-kanak yang mengalami virtual autisme berisiko menghadapi kesukaran dalam pembelajaran formal apabila masuk ke alam persekolahan, serta berdepan cabaran membina hubungan sosial dan empati.

Masalah seperti gangguan tidur, penglihatan, kegemukan dan ketagihan skrin turut dilaporkan semakin meningkat dalam kalangan generasi muda akibat tabiat penggunaan gajet yang tidak terkawal.

Namun begitu, kesan virtual autisme boleh dikurangkan atau dibalikkan jika intervensi awal dilakukan. Pengurangan masa skrin, peningkatan aktiviti fizikal, interaksi langsung dengan ibu bapa dan rakan sebaya, serta pembacaan buku dan permainan pendidikan secara langsung mampu memulihkan semula keseimbangan perkembangan kanak-kanak.

Dalam beberapa kes, simptom mirip autisme tersebut beransur hilang apabila kanak-kanak dikeluarkan daripada persekitaran berasaskan skrin dan dipulihkan dengan aktiviti dunia sebenar. Peranan ibu bapa adalah kunci dalam mencegah dan menangani isu ini.

Had masa penggunaan gajet, pemilihan kandungan yang sesuai, pengawasan aktif ketika anak menggunakan teknologi, serta mengutamakan masa berkualiti tanpa skrin seperti semasa makan dan sebelum tidur perlu dijadikan amalan harian.

Ibu bapa juga digalakkan untuk menjadi contoh yang baik dengan mengehadkan penggunaan gajet dalam kehidupan mereka sendiri.

Dari perspektif Islam, pendidikan awal kanak-kanak menekankan interaksi berasaskan kasih sayang, adab dan sentuhan kemanusiaan. Teknologi bukan musuh, namun ia perlu dijadikan alat bantu dan bukan pengganti kasih sayang serta perhatian ibu bapa.

Tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan kepada gajet yang tidak mampu memberi bimbingan rohani, emosi dan akhlak yang diperlukan untuk membentuk insan yang seimbang.

Institusi pendidikan, pusat jagaan, masjid dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran tentang bahaya penggunaan skrin yang tidak terkawal.

Program bimbingan keibubapaan, bengkel pendidikan awal kanak-kanak dan kempen kesihatan mental perlu diperluas agar semua lapisan masyarakat dapat memahami dan mengambil langkah sewajarnya.

Virtual autisme menjadi petunjuk kepada satu krisis yang lebih besar iaitu hilangnya keseimbangan antara kemajuan teknologi dan keperluan asas perkembangan insan. Generasi akan datang bukan sekadar perlu celik digital, tetapi juga harus dibekalkan dengan kemahiran sosial, emosi dan nilai keinsanan yang tinggi.

Jika tidak ditangani dari sekarang, impaknya bukan sekadar pada individu, tetapi terhadap keseluruhan masyarakat.

Sudah tiba masanya ibu bapa, guru, pembuat dasar dan masyarakat berganding bahu dalam membentuk semula budaya penggunaan teknologi dalam keluarga dan pendidikan. Kesedaran perlu digerakkan dengan lebih giat, agar generasi digital yang sedang membesar hari ini tidak menjadi mangsa kepada teknologi yang mereka warisi.

Teknologi perlu dikawal, bukan dibiarkan mengawal. Dengan pendekatan yang holistik dan berteraskan nilai Islam, kita mampu menyelamatkan anak-anak daripada perangkap sunyi dunia maya dan membawa mereka kembali ke dunia nyata penuh kasih sayang dan bimbingan sebenar. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -