
TEKNOLOGI, termasuk kecerdasan buatan (AI), hanyalah alat yang dicipta oleh manusia. Namun sebagai umat Islam yang memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi, umat ini wajib menggunakannya dalam batas syarak dan tidak melampaui ketetapan telah digariskan oleh Allah SWT.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Ustazah Nadiyah Hashim berkata, dalam arus kemajuan digital yang pesat, umat Islam tidak boleh leka hingga mempermainkan perkara-perkara ghaibiyyat dan sam’iyyat seperti syurga dan neraka.
“Perkara akidah terutama melibatkan sam’iyyat seperti gambaran syurga dan neraka mempunyai garis sempadan yang sangat perlu dijaga. Ia tidak boleh dijadikan bahan gurauan, permainan, apatah lagi objek penghinaan,” katanya kepada HarakahDaily.
Beliau diminta mengulas fenomena terkini dalam media sosial yang menyaksikan kewujudan kandungan berasaskan AI yang menggambarkan kononnya ‘hari pertama di neraka’, lengkap dengan suara, visual dan naratif dramatik.
Katanya, walaupun teknologi AI membolehkan manusia membina pelbagai bentuk imaginasi dengan sangat realistik, namun ia tetap tidak mampu menandingi hakikat sebenar rahsia alam akhirat yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
“Manusia boleh berimaginasi setinggi langit, dan AI membantu merealisasikannya. Namun syurga, neraka dan perkara-perkara ghaib lainnya adalah wilayah ketuhanan yang tidak boleh disentuh dengan logik dan rekaan semata-mata,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, sikap melampau dalam menggunakan teknologi seperti ini boleh mengelirukan umat terutama generasi muda yang belum cukup matang dari segi pemahaman akidah.
Trend bahaya: AI jadi ‘alat hiburan’ agama
Menurut Ustazah Nadiyah, walaupun ada yang menganggap kandungan seperti itu sekadar hiburan semata-mata, namun hakikatnya hati, mata dan akal tetap akan berbicara dan memberi kesan secara tidak sedar kepada penonton.
“Kalau pun hanya mahu tengok untuk suka-suka, namun hati kita akan berkata, ‘macam ini rupa neraka?’. Lama-kelamaan ia boleh menanam persepsi palsu yang salah. Akidah bukan mainan. Elakkan menonton kandungan sebegitu adalah lebih baik,” tegasnya.
Beliau turut menyarankan umat Islam supaya lebih berhati-hati memilih kandungan yang diambil secara digital.
Dalam dunia yang terlalu pantas menyajikan pelbagai bentuk informasi dan hiburan, umat Islam mesti menapis dengan mata hati dan panduan ilmu.
Mengulas lanjut, Ustazah Nadiyah turut mengingatkan bahawa kanak-kanak dan remaja merupakan golongan paling terdedah kepada pengaruh negatif kandungan digital sebegini.
“Pastikan ada bimbingan daripada ibu bapa. Jangan biarkan mereka menerima mentah-mentah apa yang terhidang di media sosial. Ramai anak-anak hari ini lebih percaya ‘content creator’ daripada ustaz dan ustazah,” katanya lagi.
Menurut beliau, peranan ibu bapa bukan sahaja sekadar menyekat akses, tetapi perlu turut serta mendidik dan memberi penjelasan yang betul kepada anak-anak mengenai akidah dan batas penggunaan teknologi.
“Didik anak-anak bahawa tidak semua yang ‘trending’ itu baik. Islam ada batas. Teknologi tidak salah, yang salah adalah apabila digunakan tanpa ilmu dan tanpa iman,” ujar beliau.
Teknologi alat, bukan tuhan baharu
Ujar Ustazah Nadiyah, Islam tidak pernah menolak teknologi, bahkan mendorong umatnya untuk meneroka ilmu dan ciptaan.
Namun katanya lagi, ia mesti disertai dengan kesedaran bahawa teknologi adalah alat, bukan tuhan baharu yang menggantikan prinsip wahyu.
“Teknologi adalah amanah. Gunakanlah ia untuk kebaikan ummah, seperti mengajar al-Quran, menyebarkan ilmu, mengingatkan tentang akhirat. Jangan kita jadikan AI sebagai alat untuk mempersenda perkara yang Allah larang disentuh tanpa ilmu,” nasihat beliau.
Beliau juga mengajak semua penggiat kandungan digital Muslim agar menjadi lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap nilai-nilai Islam dalam setiap hasil karya mereka.
Fenomena ini, katanya, sepatutnya menjadi cerminan buat umat Islam betapa pentingnya memahami agama dalam era teknologi tinggi ini.
Akidah bukan sekadar konsep, tetapi ia adalah panduan hidup yang wajib dipertahankan walau dalam dunia yang penuh simulasi dan realiti maya.
“Islam sentiasa relevan di mana-mana zaman. Yang penting kita sebagai umatnya, jangan sesekali meninggalkan panduan wahyu dalam mengurus dunia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











