
DALAM era serba digital ini, gajet seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan televisyen sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ia menjadi ‘anggota tambahan’ kepada manusia moden.
Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan, kehadiran gajet secara berlebihan telah mula mengancam institusi kekeluargaan, ia menjadi punca kepada kekacauan dan kehambaran dalam hubungan suami isteri.
Salah satu kesan utama penggunaan gajet secara tidak terkawal dalam rumah tangga ialah gangguan terhadap komunikasi.
Suami dan isteri boleh duduk bersebelahan di ruang tamu, namun masing-masing khusyuk dengan telefon.
Tiada lagi perbualan dari hati ke hati, tiada lagi tawa bersama atau perkongsian cerita harian.
Komunikasi yang dulunya menjadi jambatan kasih sayang kini terputus kerana skrin kecil di tangan.
Ramai pasangan terjebak dalam ketagihan media sosial. Mereka lebih teruja dengan ‘like’ dan komen di TikTok atau Instagram daripada perhatian pasangan sendiri.
Ini mencetuskan rasa cemburu, curiga dan rasa tidak dihargai dan semua ini menambah retak dalam hubungan.
Ada juga yang terjebak dalam hubungan luar melalui aplikasi sembang, membuka ruang kepada pengkhianatan dalam rumah tangga.
Bukan sahaja pasangan terkesan, malah anak-anak juga menjadi mangsa.
Apabila ibu bapa lebih fokus pada gajet daripada anak-anak, perkembangan emosi dan sosial mereka terbantut.
Anak menjadi agresif, memberontak, atau lebih parah turut ketagih gajet seperti ibu bapanya.
Rumah yang sepatutnya menjadi madrasah cinta dan kasih sayang bertukar menjadi zon sunyi dan asing.
Gajet juga menyebabkan kelalaian dalam menjalankan tanggungjawab rumah tangga dan ibadah.
Ada yang leka menonton drama atau bermain permainan dalam talian hingga solat dilengah-lengahkan, kerja rumah terbengkalai, dan hubungan suami isteri menjadi hambar kerana tiada lagi masa eksklusif bersama.
Penyelesaian: Bijak guna, bukan ketepikan
Gajet bukan musuh, tetapi cara kita menggunakannya yang menentukan kesan.
Suami isteri perlu menetapkan ‘zon bebas gajet’, seperti semasa makan malam atau sebelum tidur.
Luangkan masa berkualiti bersama, berbual, bermain dengan anak-anak dan saling menghargai kehadiran satu sama lain.
Kesimpulannya, gajet sepatutnya menjadi alat yang menghubungkan, bukan memisahkan.
Jika tidak dikawal, ia boleh menjadi virus senyap yang meruntuhkan institusi perkahwinan.
Sudah tiba masanya kita bertanya adakah skrin di tangan lebih bernilai daripada insan yang kita genggam dalam hidup kita? – HARAKAHDAILY 19/6/2025











