
RAMAI bertanya, awal perang Iran lancar ratusan peluru, tetapi kenapa sekarang makin perlahan? Adakah mereka sudah lemah? Jawapannya, bukan lemah. Mereka sedang atur medan.
Memang benar selepas gelombang pertama, Zionis melancarkan ‘preemptive strike’. Lebih 100 pelancar dan depot Iran dimusnahkan. Tapi Iran bukan baru dalam medan ini. Iran tahu perang sebenar belum bermula.
Selagi Amerika belum turun sepenuhnya, selagi itu Iran tidak mahu ‘membakar peluru’ yang masih dalam simpanan.
Fasa pertama ini, Iran melakukan beberapa misi. Uji keupayaan Iron Dome; balas dendam simbolik; kawal moral pasukan dan rakyat; dan bina medan untuk fasa kedua.
Hizbullah lebih fleksibel. Mereka terus serang hampir setiap malam. Iran sengaja kurangkan. Kenapa? Kerana sekarang mereka mula guna taktik perang psikologi.
Hari ini Iran keluarkan amaran terbuka dalam bahasa Hebrew; penduduk Haifa diminta kosongkan bandar. Ini balasan kepada pengumuman Zionis minggu lalu yang minta penduduk Tehran kosongkan ibu kota.
Ini permainan psikologi. Iran bukan hanya mahu menembak peluru. Iran mahu mencapai beberapa matlamat iaitu – menggetarkan moral musuh; menguji tahap campur tangan Amerika; menyimpan senjata strategik untuk medan lebih besar; mengawal masa dan tempo peperangan.
Inilah taktik persis yang dicadangkan Salman al-Farisi RA dalam Perang Khandaq; bukan semua kekuatan ditayang. Sebahagian adalah, kawalan masa; kawalan emosi musuh; dan pengheretan musuh ke dalam tekanan yang mereka tak sangka.
Firman Allah:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ… تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُم
“Dan persiapkanlah (kekuatan) agar kamu menggetarkan (menakutkan) musuh Allah dan musuh kamu…” (Al-Anfal: 60)
Sabda Rasulullah SAW:
“Perang itu adalah tipu daya.” (HR Bukhari & Muslim)
Hari ini Iran tidak terburu-buru. Mereka ‘memasak’ medan seperti Nabi SAW dalam Khandaq.
Zionis kini tertekan; pengumuman balas dalam bahasa Hebrew tamparan moral yang kuat. Lebih penting mesej kepada Amerika, “Jika kamu campur tangan kerugian kamu tidak akan dapat ditebus.”
Dalam dunia strategi, siapa yang kawal masa dan emosi dia kawal pertempuran. Malaysia patut belajar, bukan semua kekuatan perlu ditayang. Kadang, diam lebih kuat dari peluru.
Hari ini, Iran buktikan, satu pengumuman bila tepat masanya lebih menggegar dari seribu misil.
USTAZ HAJI WAN MUHAMMAD MIZAN W ABDUL LATIFF
Mudir, Kompleks Islam Tahfiz Darul Hijrah – HARAKAHDAILY 19/6/2025
Sumber asal: https://www.facebook.com/photo?fbid=9922810354432745&set=pcb.9922820571098390
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











