Dunia Islam perlukan qiyadah, kesatuan ummah

- Advertisement -

“PALESTIN bukan hilang kerana Yahudi kuat. Tapi kerana umat ini tidak lagi punya qiyadah. Iran cuma ambil sedikit hasilnya peluru mereka menembusi Haifa dan Tel Aviv. Kita ada kebenaran, tapi kita tidak ada siapa yang ditaati…”

- Advertisement -

Sheikh Nizar Hammadi al-Tunisi menyentuh jantung masalah sebenar umat Islam hari ini tiada kepimpinan agung. Bukan tiada ulama. Bukan tiada pahlawan. Tapi tiada qiyadah yang disepakati.

Bila Iran bangun struktur kepimpinan (walaupun dalam bentuk Wilayah al-Faqih), dunia gementar. Sistem pertahanan Zionis rebah. Dunia Sunni pula masih tenggelam dalam semangat bangsa & mazhab tanpa panji yang menyatukan.

Bila kita akan sedar? Bila kita akan berhenti bangga sebagai ‘orang Melayu’, ‘orang Mesir’, ‘orang Tunis’, ‘mazhab ini’, ‘kelompok itu’… dan mula hidup sebagai satu umat di bawah satu panji?

“Dan janganlah kamu berselisih, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu.” (al-Anfal: 46)

“Apa yang dimiliki oleh Iran hari ini walau hanya sekelumit kekuatan dan maruah dalam menghadapi musuh umat, hanyalah setitis daripada lautan kelebihan al-Imamah al-Kubra (kepimpinan agung) yang telah disia-siakan oleh Ahlus Sunnah,” kata Sheikh Nizar Hammadi al-Tunisi.

Wilayah al-Faqih yang Iran pegang hari ini bukan sepenuhnya ajaran Syiah. Bahkan mereka sendiri telah menolak banyak kerosakan Syiah klasik demi membina qiyadah (kepimpinan) yang realistik dan berfungsi.

Mereka tidak menunggu Imam ghaib. Mereka bina pemimpin. Mereka bangunkan sistem. Mereka latih generasi. Mereka lawan dengan strategi.

Dan kini… mereka menghantar peluru berpandu ke Haifa dan Tel Aviv. Memalukan Iron Dome, THAAD dan Patriot. Sedang dunia Sunni masih sibuk bergaduh bab niat wuduk dan tarawih 8 atau 20.

Palestin hilang kerana kita tidak bersatu. Palestin bukan jatuh kerana Yahudi kuat. Tapi kerana dunia Arab berpecah. Bangsa Arab dipisah jadi Mesir, Jordan, Iraq, Syria, Maghribi, dan lainnya. Mazhab Sunni dan Syiah dimain dan dibakar. Islam dimisalkan pada negara-negara – bukan pada ummah.

Sejarah telah mencatat bahawa Raja Arab tunduk kepada British; Mufti Al-Quds dikhianati; Tentera Ottoman dibelot dari belakang oleh ‘nasionalis Arab’.

Dan hari ini? Masih ada yang bangga berkata, “Saya Tunisian warisan Kartago”, “Saya Berber Algeria”, “Saya Amazigh Morocco”, “Saya Melayu Nusantara”, “Saya Sunni anti-Syiah”, “Saya Wahhabi benci sufi”. Sampai bila kita mahu terus menjadi boneka nasionalis, komunis, sekular dan Zionis?

“Dan janganlah kamu berselisih, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu…” (Surah al-Anfal: 46)

Kita bukan kalah kerana lemah. Kita kalah kerana tidak ada satu kepimpinan agung yang ditaati oleh umat. Iran bukan sempurna. Tapi mereka ada qiyadah.

Kita ada kebenaran… tapi tiada siapa yang ditaati. Kemenangan umat ini tidak akan kembali tanpa menyatukan politik, aqidah dan jihad di bawah satu panji.

Ditulis dalam gementar dan rindu kepada kekuatan yang hilang,
USTAZ HAJI WAN MUHAMMAD MIZAN W ABDUL LATIFF
Mudir, Kompleks Islam Tahfiz Darul Hijrah – HARAKAHDAILY 19/6/2025

Sumber asal: https://www.facebook.com/photo?fbid=9897011277012653&set=a.347808998599643

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -