‘Ceria, semangat, proses ‘recovery’ yang sangat cepat’

Perkembangan Presiden PAS susulan prosedur rawatan di IJN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik susulan menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), di sini kelmarin.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan perkara tersebut menerusi perkongsian yang dimuat naik beliau di media sosial Facebook peribadinya, sebentar tadi.

“Alhamdulillah dengan izin-Nya, TG (Tuan Guru Abdul Hadi) menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Ceria dan bersemangat, proses ‘recovery’ (pemulihan) yang sangat cepat.

“Malah sepanjang tempoh di IJN, TG mengikuti secara dekat situasi yang sedang berlaku di Iran, apatah lagi perkembangan berita politik tanah air,” ujar Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Menurut beliau, Tuan Guru juga gembira apabila dimaklumkan, delegasi PAS diketuai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil abdul Hadi telah berkunjung ke Kedutaan Iran bagi menzahirkan solidariti dan sokongan PAS dalam isu ini.

“Kita nantikan nukilan terbaharu TG, yang akan ditulisnya dari IJN untuk tatapan kita semua. Saya turut menyampaikan salam TG Mursyidul Am (Dato’ Hashim Jasin), (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad).

“(Juga Pengerusi Perikatan Nasional) TS (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, (bekas Perdana Menteri) DS (Dato’ Sri) Ismail Sabri (Yaakob) dan rakan-rakan lama TG seperti Pak Daeng (Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok), termasuk sekalian pimpinan dan ahli-ahli.

“TG berkirim salam kembali, dan amat berterima kasih atas doa yang dititipkan. Kita berikan lebih ruang untuk TG berehat dan pulih sepenuhnya, dengan iringan doa yang berterusan. Fi hifzillah, insya-Allah,” ujar Syahir. – HARAKAHDAILY 19/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -