
KUALA LUMPUR: Institut Kajian Islam dan Strategik (IKIS) menegaskan bahawa Himpunan Melayu Berdaulat (HMB) yang telah berlaku di Sogo pada Mei lalu dan disusuli dengan beberapa siri perhimpunan lain, bukanlah berteraskan perkauman atau rasisme.
Pengerusinya, Azhar Yahya, berkata himpunan itu bertujuan memperkukuh semula nilai-nilai asas dalam masyarakat Melayu seperti iman, takwa, integriti dan keberanian menegur demi membawa kebaikan kepada semua pihak termasuk kaum lain.
“Selepas ini akan ada pelbagai perhimpunan. Semua itu bukan membawa satu perkara yang rasis. HMB ialah Melayu yang nak membawa cogan kata amar makruf nahi mungkar. Itulah Himpunan Melayu Berdaulat.
“Bila amar makruf nahi mungkar disitulah Melayu beriman, bertakwa, integriti mereka akan menegur, dan ada banyak kawan saya yang memberikan teguran dan masyarakat juga boleh berikan kepada sekretariat,” katanya.
Beliau berkata perhimpunan itu terbuka kepada semua kaum untuk menyuarakan pandangan melalui saluran rasmi disediakan oleh sekretariat yang ditegaskannya dalam sidang media di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada Rabu.
“Jadi kami nak mencetuskan bahawasanya Melayu yang berdaulat itu, Melayu yang beriman, bertakwa, integriti, berani menegur dan berani untuk membawa ke agenda kebaikan, termasuk untuk kita nak memulih semula segala kelemahan yang ada pada bangsa Melayu.
“Justeru, seruan HMB ini bukan seruan rasis, malah seruan yang telah pun dipaparkan oleh Rasulullah SAW, yang Ibn Khaldun mengatakan maksud Qurasyin itu ialah, ‘mesti ada satu kumpulan bangsa yang teras’,” katanya.
Beliau menambah, dalam konteks Malaysia yang telah disepakati sebagai negara majmuk, Melayu adalah bangsa teras dan diiktiraf dalam Perlembagaan dan kedudukannya tidak perlu dipersoalkan lagi.
“Jadi kita di Malaysia ini, kita bersetuju dah jadi ikat dengan kemajmukan, tapi bangsa teras pula ialah Melayu dan ada dalam Perlembagaan. Ia telah diputuskan, diikat rapi dan tidak perlu dirungkai lagi.
“HBM yang mendokong Perlembagaan dan aspirasi sebagai satu bangsa teras. Kalau bangsa teras ini berintegriti, bagus, hebat dan bertakwa, maka merekalah yang akan menjaga semua ini. Jadi kekuatan kepada HMB akan menjamin keamanan rakyat dan menjaga masyarakat yang lain.
“Jadi perkara itu yang perlu kita pasakkan bahawasanya kita bukan rasis, tetapi Melayu yang berdaulat, Melayu yang amanah, dan seperti yang disebut dalam hadis akan menjaga semua bangsa,” katanya.
Terdahulu, Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) akan menganjurkan HMB siri kedua di Perak pada 27 Julai ini susulan kejayaan HMB pertama yang berjaya diadakan di hadapan Kompleks Sogo, di sini, pada 24 Mei lalu.
Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, beberapa program susulan juga akan dilaksanakan sebagai usaha mendekati masyarakat dan memperkukuh kesedaran dalam kalangan orang Melayu.
Program-program ini dirangka untuk membawa mesej perjuangan, memberi kefahaman tentang peranan sebagai bangsa teras, serta meningkatkan kesedaran terhadap hak dan kedaulatan Melayu yang dilihat semakin terhakis. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











