
ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan melaksanakan kelas tambahan atau tuisyen percuma di seluruh Kedah, demikian maklum Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, di sini.
Menurutnya, tuisyen percuma itu ditawarkan kepada pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, iaitu dengan memberi keutamaan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
“InsyaAllah kita akan mulakan serentak pada pertengahan Jun ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terpilih seluruh Kedah,” kata beliau kepada Harakahdaily ketika dihubungi.
Kelas tambahan itu jelasnya, menyasarkan empat mata pelajaran penting iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah serta menyediakan guru-guru yang berpengalaman untuk mengendalinya.
Katanya lagi, sebanyak 15 DUN dipilih mewakili setiap parlimen di negeri ini, termasuk 11 DUN lagi yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kalangan Exco Kerajaan Negeri, termasuk Menteri Besar.
“Ini merupakan sumbangan kerajaan negeri kepada rakyat untuk membantu pendidikan anak-anak agar berolehi kejayaan di dalam peperiksaan,” tambah ADUN Sungai Limau itu lagi.
Justeru itu, beliau menyarankan agar para pelajar di DUN yang terlibat tidak melepaskan peluang keemasan ini dan segera mendaftar untuk mengikutinya.
Peluang yang ada katanya, jangan disia-siakan, apatah lagi dalam keadaan pelbagai kos meningkat, khidmat yang ditawarkan oleh kelas-kelas tuisyen berbayar lain, pastinya mengenakan bayaran tinggi. – HARAKAHDAILY 27/5/2025




















