
KOTA BHARU: Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Kelantan menyuarakan kebimbangan serius terhadap cadangan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 yang disifatkan akan memberi kesan langsung kepada rakyat.
Menurut BPN BERSATU Kelantan, langkah itu tidak wajar dilaksanakan ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan harga barangan keperluan asas serta kesan berpanjangan pasca pandemik dan banjir besar.
“Langkah ini dijangka menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya di negeri seperti Kelantan yang ekonominya masih perlahan,” menurut parti itu dalam satu kenyataan media mereka hari ini.
BPN Kelantan juga mempersoalkan tahap kesiapsiagaan sistem penyasaran subsidi yang akan digunakan bagi mengelakkan ketirisan.
“Sehingga kini tiada jaminan bahawa sistem tersebut benar-benar mampu mengenal pasti dan melindungi semua golongan rentan tanpa keciciran,” katanya lagi.
Justeru, BERSATU Kelantan menggesa Kerajaan Persekutuan agar menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 sehingga satu kajian impak menyeluruh dibuat melibatkan semua negeri, terutamanya negeri yang masih ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi.
Selain itu, mereka turut meminta kerajaan memberi penjelasan terperinci kepada rakyat berkenaan mekanisme subsidi bersasar dan memastikan ia telus, berkesan serta tidak membebankan rakyat.
“Semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat sivil juga perlu dilibatkan dalam sebarang proses perundingan sebelum dasar sebesar ini dilaksanakan,” ujarnya.
Jelasnya, BERSATU Kelantan akan terus bersuara agar dasar negara mengambil kira realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi, bukan semata-mata berdasarkan angka dan statistik. – HARAKAHDAILY 27/5/2025











