Kedah kerjasama MDEC perkasa inovasi digital

- Advertisement -

CYBERJAYA: Satu sesi libat urus antara Kerajaan Negeri Kedah, bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) diadakan di sini, semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, berkata, pertemuan itu bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Kedah dan MDEC.

Khususnya, kata beliau dalam usaha memajukan bidang pendidikan digital, komunikasi dan maklumat di negeri itu.

“Antara fokus utama perbincangan ialah memperkukuh inisiatif digital sedia ada di Kedah, memperluas pembangunan bakat serta program peningkatan keupayaan keusahawanan.

“Serta menyokong usaha pendigitalan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kedah,” jelas beliau menerusi pautan di laman sosialnya, di sini.

Katanya lagi, sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak telah meneliti pelbagai potensi kerjasama antara MDEC dan Kerajaan Negeri Kedah.

Hal itu katanya untuk membolehkan ia digerakkan secara bersama, selaras dengan agenda ekonomi digital negeri Kedah serta aspirasi nasional di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD).

“Selain itu, turut disentuh juga berkenaan peluang kolaborasi antara MDEC dan Pusat Digital Kedah dalam merangka pelbagai program bersifat inklusif yang boleh memberi impak langsung kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

Beliau yang mewakili Kerajaan Negeri Kedah pada pertemuan libat urus itu, berpandangan, pertemuan itu bukan sahaja membuktikan kesungguhan dan iltizam negeri Kedah untuk memperkasakan komuniti melalui inovasi digital.

Di samping itu juga tegas beliau, menjayakan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama dan mampan melalui kerjasama MDEC tersebut.

“Insya-Allah, pertemuan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan program-program yang mampu mengangkat potensi rakyat Kedah, mempercepatkan usaha menjadikan Kedah sebagai hab digital serantau yang progresif dan berdaya saing,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu lagi.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC, Anuar Fariz Fadzil. – HARAKAHDAILY 27/5/2025

- Advertisement -