‘Kalau restoran kotor kena tutup, hotel langgar halal?’

Sijil halal diiktiraf dunia, tapi di negeri sendiri?

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang hanya menarik sijil halal terhadap dua hotel lima bintang di negeri ini tanpa mengenakan sebarang kompaun walaupun berlaku pelanggaran syarat sijil halal.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihak Exco Kerajaan Negeri semalam memaklumkan kepada media mengenai penarikan sijil halal terhadap dua hotel, namun tidak menyatakan nama hotel yang terlibat, malah hotel berkenaan turut dibenarkan untuk memohon semula sijil halal.

“Kenapa terlalu ‘rendah’ taraf sijil halal itu dinilai? Dalam persijilan halal menerapkan prinsip Halalan Toyyiban dalam proses, penyediaan, bahan dan alatan.

“Maka isu halal ini perlu diangkat setaraf dengan undang-undang yang dikenakan kepada premis-premis yang tidak bersih dan mendatangkan kemudaratan kesihatan pengguna.

“Kalau kedai makan yang didapati kotor akan segera dikompaun dan diarahkan tutup untuk satu tempoh yang panjang sebagai hukuman.

“Tapi kalau melibatkan persijilan halal kenapa hanya ditarik atau digantung sijil halal? Tindakan ini dilihat tidak tegas dan merendahkan ‘nilai’ halal itu sendiri,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

ADUN Bemban itu berkata, sijil halal Malaysia menjadi kebanggaan negara apabila ia diiktiraf dan turut dijadikan rujukan oleh banyak negara luar.

“Perdana Menteri sendiri mengakui sendiri pengiktirafan Persijilan Halal Malaysia. Tidak sepatutnya dipandang rendah nilainya.

“Bukan hanya memberi manfaat kepada pengguna Muslim, tetapi juga menarik minat pengguna bukan Muslim yang mementingkan aspek kebersihan dan kualiti dalam produk yang mereka beli.

“Persijilan halal menjadi menarik minat kepada banyak pengusaha kerana bukan sahaja memberi jaminan kepada kualiti produk malah meningkatkan ‘brand value’ produk untuk menarik minat pembeli terutama pengguna Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.

“Sebagai negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri yang beragama Islam, Kerajaan Negeri Melaka perlu mengambil serius dalam hal ini,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kekuatan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bahagian Pengurusan Halal perlu diberi perhatian kerana jumlah kakitangannya yang tidak lebih 20 orang kini diagihkan kepada beberapa unit untuk mengawal dan memantau hampir 400 produk, premis dan hotel.

“Kakitangan dalam unit ini perlu ditambah keanggotaannya untuk memastikan setiap pemantauan berkaitan dengan persijilan halal dibuat secara berkesan. Jika tidak, persijilan halal ini hanya dilihat seperti logo tanpa erti yang akhirnya tidak mencapai hasrat sebenar persijilan halal.

“Bidang kuasa JAIM Bahagian Pengurusan Halal ini perlu dikaji. Mereka perlu diberi kuasa lebih besar untuk mengeluarkan kompaun dan tindakan mahkamah jika ada pengusaha yang melanggar syarat persijilan halal. Bukan hanya sekadar menggantung atau menarik sijil halal suatu produk atau premis,” terangnya.

Mohd Yadzil berkata, kerajaan negeri perlu melihat contoh negeri lain seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di mana unit halal mereka diberi kuasa lebih besar seperti boleh mengeluarkan kompaun dan mendakwa pengusaha yang melanggar syarat persijilan halal ke mahkamah.

“Dalam isu yang diumumkan Exco semalam, nama hotel tersebut juga harus didedahkan seperti mana pihak berkuasa dedahkan produk-produk yang ditarik sijil halal atau yang disahkan haram.

“Bayangkan jika isu ini berlaku ketika bulan Ramadan, di mana ramai umat Islam hadir ke hotel-hotel untuk iftar tanpa mengetahui status terkini sijil halal hotel tersebut.

“Bukan semua yang hadir akan menyemak status halal hotel tersebut di laman web JAIM. Apa lagi hotel tersebut adalah hotel 5 bintang yang secara umum rakyat tahu sebelumnya adalah hotel yang memiliki sijil halal. Siapa yang akan bertanggungjawab?” persoalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun permohonan sijil halal telah dipermudahkan dan tidak wajib, persijilan halal itu banyak memberi keuntungan kepada pengusaha.

“Tapi jangan biarkan tolak ansur kita dalam perakuan persijilan halal ini diremehkan oleh pihak yang tidak faham nilai sijil tersebut terutama kepentingan kepada orang Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2025

- Advertisement -