
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Khidmat Gombak, Mohd Iqman Iberahim menyatakan kekesalan dan kebimbangan terhadap pengumuman kerajaan mengenai kadar tambang asas Grab serendah RM0.70/km.
Menurut beliau, keputusan yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke itu adalah tidak munasabah, tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos sara hidup serta perbelanjaan operasi sebenar para pemandu e-hailing.
“Sedangkan di negara lain, kadar asas e-hailing mencecah lebih RM1/km, Malaysia kini ketinggalan dalam menjaga kebajikan pekerja gig. Pemandu Grab bukan hanya penyedia perkhidmatan, tetapi rakyat marhaen yang bekerja keras demi sesuap nasi.
“Mereka menanggung sepenuhnya kos bahan api, penyelenggaraan, insurans, tol dan sebagainya tanpa sebarang bantuan daripada syarikat mahupun kerajaan. Oleh itu, penetapan tambang yang tidak realistik akan terus menekan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau menggesa pihak kerajaan agar menetapkan harga siling yang adil dan tetap, bukan boleh diubah sesuka hati oleh syarikat e-hailing, serta memberi insentif atau subsidi kepada pemandu bagi kos servis dan penyelenggaraan di bengkel terpilih.
Selain mewujudkan pengecualian atau rebat cukai khas kepada golongan pemandu gig, di samping memastikan syarikat e-hailing memberikan insentif yang berbaloi ketika waktu puncak, malam serta hujung minggu dan mewujudkan ganjaran khas kepada pemandu yang menjaga kualiti perkhidmatan dan imej industri.
“Kami juga ingin mengingatkan pihak kerajaan agar bertindak telus dan adil dalam membuat dasar, tanpa sebarang unsur kronisme atau kepentingan korporat yang membelakangkan nasib rakyat.
“Keutamaan mestilah diberikan kepada mereka yang berada di bawah, golongan yang bangkit sendiri demi menyara keluarga. Pemandu Grab adalah rakyat juga. Jangan biarkan mereka terus terhimpit demi menjaga kepentingan syarikat gergasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2025











