
PADANG BESAR: Usaha memartabatkan Perlis sebagai pintu gerbang perdagangan antarabangsa terus digiatkan menerusi inisiatif Perlis4BorderTrade yang kini melangkaui sempadan negara ke wilayah selatan Thailand.
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi mengetuai misi diplomatik dan ekonomi ke Thailand selama tiga hari bermula 10 Mei itu menyifatkan penglibatan dan sokongan negara jiran sebagai faktor penentu keberkesanan projek strategik Perlis Inland Port (PIP).
“Dalam forum di Kuala Lumpur baru-baru ini, wakil Dewan Perniagaan Thailand menyebut dengan jelas bahawa PIP Perlis tanpa sokongan Thailand tidak ada makna,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Tambah beliau, justeru pendedahan kepada pelabur dan penggiat industri di Thailand melalui saluran diplomatik perlu diperluaskan bagi memastikan manfaat dua hala dapat dikecapi secara optimum.
“Alhamdulillah, perbincangan untuk satu Town Hall – Perlis4BorderTrade sedang diusahakan. Ia bakal menjadi platform libat urus antara pemegang taruh industri dari kedua-dua negara,” katanya lagi.
Dalam lawatan tersebut, delegasi sempat mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam Wilayah Pattani bagi membincangkan potensi kerjasama dalam industri halal yang semakin mendapat perhatian dunia.
Rushdan berkata, pertemuan tersebut turut menzahirkan sokongan moral dan strategik daripada tiga Timbalan Yang Dipertua (TYDP) Majlis yang menyatakan keterbukaan untuk memperkukuh ekosistem halal merentas sempadan.
Antara yang hadir ialah TYDP Kemasyarakatan, Salehuddin Abdul Rashid dan TYDP Pelajaran, Tuan Guru Dr Sihabuddin Walung serta TYDP Ekonomi, Zakaria Ahmad.
Turut serta ialah Setiausaha Majlis, Che Nuji Mustafa dan dan Timbalan Ketua Bahagian Pentadbiran, Osman Ismail.
“Kami turut menyampaikan komitmen dan pandangan Prof Dr Winai Dahlan dari Bangkok, yang turut mengiktiraf kelebihan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memperluaskan pasaran halal global,” jelas beliau.
Sebelum itu, delegasi turut melawat Dusun Durian Montong di Krong Pinang, Yala, bagi meninjau amalan pertanian organik yang diamalkan oleh pengusahanya, yang bersedia memberikan latihan kepada pengusaha dari Perlis.
Hari terakhir misi menyaksikan delegasi mengadakan lawatan ke Nat Tanjung Pattani dan bermalam di kawasan Masjid Aho di mana mereka turut dijamu sarapan pagi oleh Penghulu Nat Tanjung, Kamaruddin Musaw.
Turut bersama dalam kunjungan itu ialah Datuk Bandar Nat Tanjung, Syed Hakim AlJufri, bersama barisan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) beliau yang baru dipilih melalui pilihan raya pihak berkuasa tempatan di mana ayah beliau, Syed Abdullah AlJufri yang cukup dikenali warga Pattani turut hadir.
Mereka kemudiannya dibawa meninjau aktiviti perniagaan komuniti sekitar Nat Tanjung sebelum kembali ke Perlis.
Terdahulu, pada 10 Mei, perbincangan strategik telah berlangsung di Kompleks Serbaguna Pusat Pembangunan Islam Yala, melibatkan wakil Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta agensi ekonomi Thailand.
Dalam sesi itu, delegasi Perlis memberikan taklimat ringkas mengenai potensi pelaburan di negeri tersebut serta merancang satu program Libat Urus ekonomi sempadan.
Turut dicadangkan ialah penganjuran padanan perniagaan (business matching) antara pelabur dan agensi berkepentingan Thailand dengan pihak Perlis.
“InsyaAllah, pihak yang selayaknya akan dijemput ke pertemuan rasmi yang sedang dirancang. Kita mahu hubungan ini bukan hanya diplomatik, tetapi bersifat praktikal dan memberi hasil terus kepada rakyat,” jelas Rushdan.
Melalui rangkaian hubungan diplomatik dan ekonomi ini, ujar Rushdan, Perlis perlu membina landasan kukuh untuk menjadi hab dagangan serantau berteraskan nilai Islam.
“Keunikan Perlis dari segi geografi, saiz serta keutuhan pentadbirannya dilihat sebagai kelebihan berbanding negeri-negeri lain.
“Dengan strategi Perlis4BorderTrade, kita tidak hanya membuka sempadan fizikal, tetapi juga sempadan pemikiran, kerjasama dan pertumbuhan ekonomi bersama,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/5/2025





















