Kedah tunggu lebih setahun kelulusan NoC

Dr Haim Hilman Abdullah
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Ekonomi tidak memberi maklum balas permohonan kelulusan Notis Perubahan (NoC) projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5, sejak lebih setahun lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, hampir setiap bulan pegawai tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) bermesyuarat dengan pegawai tertinggi di kementerian berkenaan, namun agenda NoC ini  tidak dibincangkan.

“Berikutan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah mengambil langkah proaktif dengan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mendapatkan bantuan menyelesaikan isu NoC ini,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam.

Pada pertemuan itu, kata Dr Haim, Anwar telah mengarahkan Kementerian Ekonomi untuk menerima pembatalan NoC asal yang tidak dijawab serta memudahcara permohonan baharu

Kelmarin, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kenyataannya, menuntut agar seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah, tampil membuat permohonan maaf, kononnya membuat tuduhan tidak berasas berhubung kelulusan projek KHTP Fasa 5.

Rafizi berkata, Exco berkenaan telah membuat kenyataan fitnah kononnya beliau didakwa sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan NoC dan dikatakan cuba mensabotaj projek kerajaan negeri berkenaan.

Justeru, kata Haim Hilman yang juga ADUN Jitra, selepas isu tersebut menjadi polimek di media, baharulah menteri berkenaan, membuat kenyataan di media sosial dan di Dewan Rakyat.

Sedangkan, ujarnya, sepanjang tempoh itu, masa telah banyak terbuang, namun masalah tidak dapat diselesaikan.

“Tidak timbul isu mengenai penambahan hutang kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat kerana kerajaan negeri mempunyai kekuatan kewangan yang mencukupi untuk menampung kos tersebut.

“Pengurusan kewangan yang bijaksana menjadi kunci kejayaan, sekali gus projek dapat dilaksanakan dengan lancar,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -