Masih ampuh lagikah strategi Umno ‘kepong’ pengundi?

- Advertisement -

TAPAH: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mempersoalkan keberkesanan strategi ‘kepong’ pengundi oleh Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning yang bakal berlangsung Sabtu ini, 26 April.

Beliau berkata, walaupun strategi itu memberi kejayaan kepada Umno dalam beberapa PRK sebelum ini seperti di Pelangai dan Nenggiri, namun ia juga terbukti gagal di PRK Kuala Terengganu dan Kemaman, sekali gus mencetus persoalan sama ada pendekatan tersebut masih ampuh untuk digunakan.

Menurutnya, strategi ‘kepong’ merujuk kepada usaha melingkungi pengundi akar umbi serta penyokong tradisi agar keluar mengundi dan seterusnya mengundi parti sama, namun pendekatan itu memerlukan sumber dan kedudukan sebagai kerajaan untuk dilaksanakan secara berkesan.

“Kali ini kedua-dua parti bertembung sekali lagi di PRK Ayer Kuning yang akan berlangsung Sabtu ini, 26 April 2025. Parti manakah yang bakal menang – Umno atau PAS?” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Zuhdi, kedua-dua parti memiliki kekuatan akar umbi, dan perbezaan kekuatan bergantung pada lokasi kubu masing-masing.

Beliau berkata, di kawasan yang menjadi kubu kuat Umno, akar umbi PAS biasanya lemah, dan begitu juga sebaliknya; namun jika kekuatan kedua-dua parti setara, persaingan akan menjadi seimbang.

“Antara kedua-dua parti Umno dan PAS, Umno lazimnya mempunyai kelebihan dari segi melaksanakan strategi ‘kepong’ pengundi disebabkan posisi mereka sebagai kerajaan.

“Strategi ‘kepong’ pengundi ini merujuk kepada langkah-langkah yang diambil oleh parti untuk melingkungi pengundi akar umbi dan penyokong tradisi agar keluar mengundi dan seterusnya mengundi parti yang mereka sokong sebelumnya. Untuk mengepong pengundi seperti ini memerlukan sokongan material,” katanya.

Tambah beliau, kemenangan Umno di PRK Pelangai dan Nenggiri banyak disumbang oleh kejayaan strategi tersebut, manakala kekalahan Umno di Kuala Terengganu dan Kemaman pula berpunca daripada kelemahan strategi sama.

“Di Kuala Terengganu dan Kemaman, pengundi akar umbi dan penyokong tradisi Umno ramai yang telah berpaling tadah disebabkan tidak yakin lagi dengan pucuk pimpinan Umno,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zuhdi mendedahkan bahawa seorang bekas strategis Umno memaklumkan kepadanya bahawa Umno kehilangan lebih 10,000 pengundi akar umbi dan penyokong tradisi di PRK Kemaman.

“Separuh daripada jumlah tersebut tidak keluar mengundi dan separuh yang lain beralih untuk menyokong PAS. Meskipun Umno menggunakan strategi ‘kepong’ ini di PRK Kemaman, tetapi strategi ini tidak berjaya disebab krisis keyakinan terhadap parti,” katanya.

Berkaitan PRK Ayer Kuning, Dr Zuhdi menjelaskan bahawa pengundi akar umbi dan penyokong tradisi Umno adalah kuat, selain MCA dan MIC turut mempunyai sokongan pengundi tradisi masing-masing.

“Kaum Cina di Parlimen Tapah termasuk DUN Ayer Kuning bukan secara ‘en bloc’ menyokong PH, sebaliknya tidak kurang 50 peratus masih menyokong BN.

”Demikian jugalah kaum India, majoriti masih menyokong BN justeru Parlimen Tapah, satu-satunya Parlimen telah dimenangi oleh MIC dalam PRU ke-15 yang lalu,” katanya.

Beliau berkata, pada PRU ke-15, calon Umno di DUN Ayer Kuning memperoleh 9,088 undi manakala PAS memperoleh 6,812 undi.

Katanya, undi Umno termasuk sokongan daripada MCA dan MIC, manakala undi PAS diyakini datang sebahagian besarnya dari pengundi Melayu.

“Berdasarkan kepada jumlah undi yang diperolehi oleh calon Umno dan PAS, dari segi sokongan pengundi Melayu terhadap kedua-dua parti agak seimbang di DUN Ayer Kuning,” katanya.

Dr Zuhdi berkata, sebelum penamaan calon, Umno yakin mereka berjaya mengekalkan sokongan pengundi Melayu dan menambah sokongan daripada pengundi PH yang berjumlah 6,875.

“Secara sifir mudah, Umno yakin mereka boleh memenangi PRK Ayer Kuning ini dengan jumlah undi sekurang-kurang 15,000 undi. Malah, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan yakin menyasarkan untuk memperoleh 18,000 undi,” katanya.

Menurutnya, strategi utama Umno kekal kepada ‘kepong’ pengundi akar umbi dan penyokong tradisi yang dianggarkan sekitar 9,000 orang, serta menggunakan kelebihan sebagai Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Kaedah pelaksanaan ‘kepong’ pengundi seperti yang mereka lakukan di PRK Nenggiri akan diperturunkan di Ayer Kuning. Jelas kelihatan sehingga kini, itulah strategi yang sedang digunakan oleh Umno,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, PAS terus menggempur pengundi Umno melalui pelbagai medium terutama media sosial, sambil berusaha meraih sokongan pengundi Cina dan India.

“Dengan kebanjiran isu ‘failure story’ kerajaan campuran PH-BN, strategi ‘kepong’ Umno tidaklah semudah apa yang berlaku di PRK Nenggiri. DUN Ayer Kuning boleh dianggap sebagai ‘sub-urban’, justeru kesannya berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -