Anjur lima kali bengkel kembalikan EKJS yang terbatal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengadakan lima kali bengkel untuk mengembalikan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, langkah itu membabitkan penambahbaikan bagi pindaan enakmen itu.

“Kita melalui Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah sedang berusaha untuk mengembalikan semula 16 seksyen yang telah dibatalkan serta menambahbaik enakmen yang sedia ada.

“Sehingga kini kita telah mengadakan lima kali bengkel dan perbincangan demi melengkapkan enakmen ini dengan wajar baru,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 di Mabna Membangun Bersama Islam (MBI) di sini.

Turut hadir Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Dato’ Idham Abdul Ghani; Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Enakmen, Wan Rohimi Wan Daud.

Selepas pengumuman pembatalan enakmen oleh Mahkamah Persekutuan, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal bagi merangka draf pindaan enakmen tersebut.

Usaha itu sebagai persediaan awal sebelum pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 akan dibentangkan secara rasmi pada Julai depan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Mac tahun lalu, Persidangan DUN meluluskan usul menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas panel sembilan hakim membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -