100 menu bakal disaji pada Majlis Aidilfitri MB Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Lebih 100 jenis juadah istimewa bakal menanti pengunjung Majlis Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini, 12 April 2025 di Dewan 2020, di sini.

- Advertisement -

Majlis akan bermula pada jam 11 pagi itu melibatkan penyertaan 33 jabatan dan agensi yang masing-masing akan menyediakan pelbagai hidangan menarik.

Antara menu istimewa yang bakal menjadi tarikan utama ialah rusa dan kambing golek.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menjemput seluruh rakyat Perlis hadir memeriahkan majlis tersebut bersama keluarga, jiran dan sahabat handai bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan.

Bagi kemudahan para hadirin, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan ‘shuttle’ menggunakan ‘coaster’ ke lokasi majlis.

Tahun lalu, kehadiran direkodkan mencecah 35,000 orang berbanding anggaran awal sekitar 15,000 dan bagi tahun ini, jumlah kehadiran dijangka melebihi 35,000 pengunjung.

Selain sajian enak, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Kumpulan De Charma dan Soutul Maad, menjanjikan suasana mesra serta meriah buat para hadirin.

Penganjur turut menyeru agar semua pengunjung bersama-sama mengelakkan pembaziran makanan sebagai tanda kesyukuran dan memelihara adab berjiran.

Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk menjalin silaturrahim, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -