Pengundi diseru pilih calon PN: Muda dan berwibawa

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengundi DUN Ayer Kuning diseru memberi sokongan penuh kepada calon muda yang akan mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini.

- Advertisement -

Calon tersebut merupakan anak tempatan yang diyakini berwibawa dan sangat memahami permasalahan masyarakat setempat di samping berpendidikan agama.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, pemilihan calon mewakili PN yang benar-benar mewakili suara rakyat adalah penting bagi memastikan keperluan penduduk setempat diangkat ke peringkat nasional.

“Pelbagai isu kini melanda negara termasuk kenaikan kos sara hidup, harga barangan keperluan yang semakin mahal serta pelbagai lagi masalah yang menekan rakyat,” katanya yang mengulas calon PN ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, rakyat perlu menterjemahkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan kerajaan hari ini dengan menolak calon Barisan Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH) melalui peti undi.

Menurutnya, memberi undi kepada calon mereka (BN-PH) sama seperti menyokong kerajaan sedia ada dan bersetuju dengan beban kos yang sedang ditanggung oleh rakyat.

Menurutnya lagi, pelbagai lagi isu dalam negara seperti perundangan dan dasar kerajaan turut menimbulkan keresahan pada rakyat yang mesti dihindarkan.

Justeru, katanya, pengundi Ayer Kuning diseru agar bijak membuat pilihan demi masa depan negara dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

“Saya harap PRK Ayer Kuning menjadi satu isyarat jelas rakyat menolak kepimpinan kerajaan hari ini dan memberi ruang kepada calon muda PN untuk membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri,” tambah beliau.

Beliau menegaskan, undi kali ini bukan sekadar soal politik, tetapi berkaitan dengan masa depan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -