Exco sertai majlis tahlil arwah mangsa langgar lembu

- Advertisement -

KUALA KRAI: Hilmi Abdullah menghadiri majlis tahlil Mohd Akif Haiqal Mohd Yusoff yang meninggal dunia akibat terlanggar lembu di Kilometer 7 Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang, semalam.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu hadir ditemani ahli Dewan Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil di kediaman arwah terletak di Kampung Derdap Guchil di sini.

“Selepas solat Isyak tadi hadir bersama Dewan Pemuda PAS DUN Guchil ke majlis tahlil arwah meninggal dunia akibat terlanggar lembu di Kilometer 7 Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang.

“Didoakan semoga Allah memberikan keampunan dan ditempatkan arwah bersama golongan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu hantaran laman sosial Facebook hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar itu berkata lagi, kejadian kemalangan akibat haiwan ternakan berkeliaran masih berlaku meskipun penguatkuasaan dilaksanakan.

Malah, masalah tersebut dibincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan lebih keras bagi menangani isu terbabit daripada terus berulang.

Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas termasuk merampas ternakan dan mengenakan kompaun maksimum RM2,000 terhadap penternak tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) menjalankan operasi pemantauan di laluan utama sekitar jajahan itu terhadap lembu dibiarkan berkeliaran. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -