
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa keutamaan perlu diberikan kepada kebajikan dan hak penduduk Kampung Sungai Baru yang flat mereka berdepan tindakan perobohan.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, semua pihak perlu menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman penduduk.
Menurutnya, Pemuda PAS Malaysia menyambut baik keputusan mahkamah yang membenarkan perintah sementara (stay interim) yang bermaksud bangunan flat di situ tidak akan dirobohkan buat sementara waktu sehingga permohonan penuh didengar.
Berdasarkan maklumat pihak peguam, katanya permohonan penuh akan dibicarakan pada 22 April ini dan keputusan mahkamah akan ditentukan pada waktu tersebut dan hingga tarikh itu, status flat masih selamat daripada sebarang tindakan perobohan.
“Pemuda PAS mengambil sikap untuk meneruskan solidariti bersama penduduk dalam bentuk persediaan untuk berhadapan dengan perbicaraan genting pada April akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Namun, Nadzir berkata masih terdapat tindakan yang menekan penduduk, termasuk perobohan penuh ke atas sebahagian bangunan disebabkan ketiadaan wakil yang mempertahankannya.
Selain itu, beliau berkata kawasan perumahan ini dibiarkan dalam keadaan daif, dengan bekalan elektrik dan air telah dipotong serta seluruh kawasan dipagar sepenuhnya, meskipun perintah Eviction Order baru sahaja berkuat kuasa.
Beliau menegaskan, Pemuda PAS akan terus memantau perkembangan kes ini serta memberikan sokongan kepada penduduk yang terkesan. Pemuda PAS Malaysia komited untuk memperjuangkan keadilan dan memastikan hak rakyat tidak dipinggirkan. – HARAKAHDAILY 26/3/2025




















